Kakitangan kerajaan rugi lebih RM700,000 dijerat Macau Scam

Seorang kakitangan kerajaan rugi RM711,626 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai mahkamah dan polis. Gambar hiasan
Seorang kakitangan kerajaan rugi RM711,626 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai mahkamah dan polis. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kakitangan kerajaan rugi RM711,626 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar pegawai mahkamah dan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mahidisham Ishak berkata, laporan diterima pihaknya pada Sabtu lalu melibatkan mangsa lelaki berusia 52 tahun.

Menurutnya, mangsa dikatakan menerima panggilan daripada 'pegawai mahkamah' yang mendakwa dia terbabit rasuah dan pengubahan wang haram sebelum talian itu disambungkan kepada 'polis'.

"Mangsa kemudian diarahkan membuat transaksi wang sebelum memindahkan RM711,626 ke dalam 13 akaun berbeza kononnya bagi tujuan siasatan.

"Menyedari ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Justeru, Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan di balai polis terdekat bagi memastikan butiran pemanggil adalah benar daripada pihak berkuasa, membuat panggilan semula ke agensi berkenaan melalui talian rasmi serta tidak mendedahkan maklumat akaun kepada pihak ketiga melalui panggilan telefon.

“Untuk sebarang aktiviti mencurigakan dan jenayah, mereka boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585, Pusat Respon Penipuan JSJK (03-2610 1559/1599) atau balai polis berdekatan, selain WhatsApp JSJK (013-2111222) dan pautan semakmule.rmp.gov.my,” katanya.

Artikel Berkaitan: