Pegawai polis maut dipercayai tembak diri sendiri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai polis maut dipercayai menembak diri di kepala dengan menggunakan pistol dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Selingsing, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian itu dimaklumkan pihaknya selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menerima panggilan daripada Sistem MERS 999 kira-kira jam 3.30 petang.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa lelaki yang berumur 35 tahun merupakan seorang pegawai kanan yang kini sedang berkhidmat di IPD Dang Wangi.

"Siasatan awal dipercayai mangsa telah menembak dirinya sendiri di bahagian kepala dengan menggunakan sepucuk pistol.

"Pihak ambulans telah sampai ke tempat kejadian dan pegawai perubatan yang bertugas telah mengesahkan kematian mangsa pada jam 3.59 petang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, punca kejadian masih belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan pihak polis dan kes ini telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Pihak Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini untuk tampil memberikan keterangan ataupun menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Foo Keat How di talian 012-7461500 atau boleh juga menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul ditalian 03-40482206," katanya.

Artikel Berkaitan: