Mangsa banjir panjat bukit selepas PPS dinaiki air

Mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Gunung Menerong dan Kampung Menerong dekat Kuala Berang, Hulu Terengganu, di sini terpaksa memanjat bukit berhampiran selepas PPS itu dinaiki air.
Mangsa banjir berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Gunung Menerong dan Kampung Menerong dekat Kuala Berang, Hulu Terengganu, di sini terpaksa memanjat bukit berhampiran selepas PPS itu dinaiki air.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Gunung Menerong dan Kampung Menerong dekat Kuala Berang, Hulu Terengganu, di sini terpaksa memanjat bukit berhampiran selepas PPS itu dinaiki air.

Sinar Harian berjaya menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Menerong, Muhammad Alwi To untuk mengetahui perkembangan terkini.

Berdasarkan maklumat diterima, dianggarkan seramai 450 mangsa kini berlindung di atas bukit berhampiran PPS yang ditenggelami air.

Katanya, seluruh kawasan kampung kini tenggelam malah mereka juga terputus bekalan makanan kerana terpaksa menyelamatkan nyawa menuju kawasan lebih tinggi.

"Semua penduduk yang berlindung di PPS SK Gunung Menerong dan sebuah lagi PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong terpaksa melarikan diri ke atas bukit selepas PPS itu dinaiki air jam 10 pagi Ahad.

"Keadaan kami sekarang agak kritikal, kesejukan, tiada bekalan makanan sebab hanya sedikit sahaja barangan keperluan makanan dapat diselamatkan.

"Rumah semua tenggelam. Hampir semua bekalan makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diterima di PPS habis tenggelam. Kami amat memerlukan bantuan dari luar sekarang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Muhammad Alwi, talian telefon dan kemudahan internet juga terputus disebabkan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan berterusan.

Mangsa banjir berlindung dibawah khemah di atas bukit berhampiran PPS yang ditenggelami air.
Mangsa banjir berlindung dibawah khemah di atas bukit berhampiran PPS yang ditenggelami air.

"Semua penduduk yang berlindung di sini kesejukan. Tiada terkecuali dan seluruh kampung tenggelam.

"Kami amat mengharapkan bantuan sekarang," katanya ketika dihubungi sekitar jam 4 petang tadi.