Wan Ashraf bawa kucing, arnab harungi banjir dalam kolam plastik

Wan Ashraf menggunakan kolam kanak-kanak sebagai pelampung untuk menyelamatkan kucing peliharaannya ke tempat selamat selepas kediaman di landa banjir di Taman Wira Jaya, Lubuk Jong, pada Ahad. Foto Bernama
Wan Ashraf menggunakan kolam kanak-kanak sebagai pelampung untuk menyelamatkan kucing peliharaannya ke tempat selamat selepas kediaman di landa banjir di Taman Wira Jaya, Lubuk Jong, pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Seorang penduduk di kawasan perumahan Taman Wira Jaya dekat Lubuk Jong, di sini, terpaksa menggunakan kolam plastik bersaiz besar yang dijadikan sebagai pelampung untuk menyelamatkan haiwan peliharaannya daripada mati kelemasan selepas kediamannya dinaiki air, sejak petang semalam (Sabtu).

Pemilik haiwan berkenaan, Wan Ashraf Wan Salam, 26, berkata, tindakan terdesak itu terpaksa dilakukannya kerana bimbang tiga ekor kucing dan tiga ekor arnab akan mati lemas sekiranya tidak diselamatkan.

"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana nasib haiwan-haiwan peliharaan saya ini sekiranya terkandas akibat banjir dan tidak diselamatkan.

"Tanpa berfikir panjang saya terus mengepam kolam plastik yang ada di dalam rumah ini untuk dijadikan pelampung bagi menyelamatkan semua haiwan kesayangan saya," katanya ketika ditemui Bernama dekat Lubuk Jong, di sini pada Ahad.

Wan Ashraf berkata, beliau akan membawa kesemua haiwan itu bersama untuk menumpang buat sementara waktu di rumah adiknya, Wan Shahidan, 23, dekat Kampung Wakaf Bharu di Kota Bharu.

"Saya tidak menyangka hujan lebat kali ini telah menyebabkan banyak kawasan dinaiki air dengan cepat sehingga menyebabkan ada jiran-jiran saya tidak sempat untuk meletakkan barang-barang berharga di tempat yang lebih tinggi dan selamat,” katanya.

Seorang lagi penduduk di kawasan tersebut, Norazila Jana, 38, pula berkata, lima ekor kucing miliknya telah diletakkan di dalam sangkar terlebih dahulu selepas beberapa rumah telah dimasuki air kerana hujan lebat.

"Jika memikirkan tentang kelengkapan rumah dan lain-lain ia amat menyedihkan tetapi saya bersyukur kerana keluarga dan haiwan peliharaan saya dapat diselamatkan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: