16 dikompaun merokok di kedai makan

Antara individu yang dikompaun dalam operasi penguatkuasaan oleh KKM di sekitar Kuala Lumpur pada Sabtu.
Antara individu yang dikompaun dalam operasi penguatkuasaan oleh KKM di sekitar Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 16 individu dikompaun membabitkan nilai keseluruhan RM4,000 selepas didapati merokok di kedai makan dan kedai berhawa dingin dalam operasi penguatkuasaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sekitar ibu negara pada Sabtu.

KKM dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, tiga pemilik perniagaan turut dikompaun RM500 setiap seorang kerana tidak memaparkan papan tanda larangan merokok di premis mereka.

Menurutnya, operasi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kepong bertujuan memastikan pematuhan larangan merokok yang diwartakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Perokok dikompaun di bawah Peraturan 11(1)(d) PPKHT manakala peniaga dikompaun di bawah Peraturan 12(1)(a) PPKHT," menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menyebut, seramai tujuh individu dikompaun RM7,000 kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam operasi sama.

KKM juga serius dalam usaha menangani masalah merokok dalam kalangan masyarakat dan satu akta baharu akan dibentangkan khusus untuk membanteras gejala tersebut.

"Sebagaimana yang telah diumumkan oleh KKM, di bawah akta baharu ini turut melarang generasi yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya memiliki serta membeli sebarang produk merokok," katanya.

Sebarang aduan berkaitan kesalahan merokok di tempat awam boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 010-860 8949.

Artikel Berkaitan:

"Bagi golongan perokok yang ingin berhenti merokok boleh melayari laman sesawang www.jomquit.com," kata kenyataan itu.