1MDB dakwa Jho Low proksi Najib

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya menyatakan bahawa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho merupakan proksi dan rakan sekutu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Syarikat itu berkata demikian dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada Rabu, berhubung pernyataan ahli perniagaan dalam buruan yang lebih dikenali sebagai Jho Low dalam kes saman yang difailkan 1MDB.

Dalam kes ini, 1MDB, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited (sebelum ini dikenali 1MDB Global Investments Ltd) merupakan plaintif pertama hingga kelima.

1MDB berkata, Najib adalah pengarah bayangan plaintif-plaintif kerana pengarah-pengarah plaintif biasa bertindak mengikut arahannya.

“Oleh itu, defendan pertama sebagai proksi Najib dalam memberi perintah dan arahan kepada lembaga pengarah dan pengurusan kanan 1MDB, juga pada setiap masa material merupakan pengarah bayangan plaintif-plaintif.

“Justeru, defendan pertama juga mempunyai kewajipan fidusiari terhadap plaintif dan pada setiap masa material merupakan pemegang amanah kepada aset plaintif-plaintif,” katanya.

Syarikat itu juga berkata, Jho Low mendapatkan proksinya untuk bekerja dalam 1MDB dan anak syarikat, termasuk bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee; dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap Jho Low dan keluarganya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua plaintif menamakan Jho Low; rakan sekutunya Eric Tan Kim Loong; bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng; kakaknya Low May Lin; adik lelakinya Taek Szen; dan ibunya Puan Sri Goh Gaik Ewe sebagai defendan pertama hingga keenam.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng dan Taek Szen.