Smith yakin Norwich raih kemenangan

Kesebelasan Norwich dilihat mampu meraih kemenangan berdepan Southampton. - Foto Focus Image
Kesebelasan Norwich dilihat mampu meraih kemenangan berdepan Southampton. - Foto Focus Image
A
A
A

BIARPUN bakal beraksi tanpa lima tonggak berdepan Southampton di St. Mary bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu, namun pengendali Norwich City Dean Smith tetap yakin skuad kendaliannya itu mampu meraih kemenangan.

Menurut Smith, rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan terdahulu ketika berdepan pasukan-pasukan gergasi EPL seperti Manchester City, Tottenham Hotspur, Manchester United dan Everton memberikan keyakinan kepadanya bahawa skuad The Cannaries mengekalkan kecemerlangan.

Malah katanya, skuad kendaliannya itu turut memberikan kejutan ketika berdepan Liverpool dengan mendahului 1-0 sebelum tumpas 1-3 kepada The Reds di Anfield minggu lalu.

“Kami telah mencatatkan keputusan yang agak membanggakan apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan terdahulu.

“Kini, kami mencongak pula peluang untuk mencatatkan kemenangan ke atas Southampton dan menjadi misi utama kami berkunjung ke St. Mary.

“Sebelum ini, kami pernah menewaskan mereka 2-1 di Carrow Road dan tidak mustahil untuk kami mengulanginya lagi walaupun kehilangan empat tonggak kali ini,” katanya.

Untuk rekod, Norwich City kehilangan khidmat penjaga gol, Tim Krul, Andrew Omibamidele (pertahanan), Jakob Sorensen (tengah) dan Lukas Rupp (tengah) yang masih belum pulih daripada kecederaan masing-masing.

Sementara itu Smith berharap agar pemain-pemain pengganti yang bakal beraksi kelak mampu menggalas tugas yang ditinggalkan kesemua tonggak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Beberapa pemain baharu akan diberikan peluang beraksi pada perlawanan ini dan diharapkan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan memastikan misi kemenangan pasukan direalisasikan,” katanya.