Perdana Menteri tiba di Kemboja

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh bagi mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Kemboja hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh bagi mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Kemboja hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PHNOM PENH - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Kemboja pada Rabu untuk lawatan negara dua hari bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang terjalin selama 65 tahun selain daripada perdagangan dan peluang pelaburan serta pergerakan rakyat antara kedua-dua negara.

Lawatan beliau ke Kemboja adalah atas jemputan rakan sejawat, Perdana Menteri, Samdech Techo Hun Sen.

Ketibaan Ismail Sabri di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada jam 5.20 petang waktu Malaysia disambut Menteri Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Othsman Hassan yang mewakili Kerajaan Kemboja. Othsman juga merupakan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal masyarakat Islam di Kemboja.

Perdana Menteri diiringi Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan pegawai kanan kerajaaan.

Ismail Sabri juga akan menghadiri majlis makan malam bersama Keluarga Malaysia di Kemboja, di sini pada Rabu.

Beliau akan memulakan lawatan rasminya Khamis ini dengan melawat tugu peringatan kemerdekaan dan meletakkan kalungan bunga diikuti dengan satu lagi upacara meletak kalungan bunga di Monumen Preah Borom Ratanak Kaudh yang didirikan untuk memperingati mendiang Raja Norodom Sihanouk di kawasan sama.

Ismail Sabri juga akan diberikan sambutan rasmi dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, diikuti dengan acara lintas hormat diiringi Hun Sen di Peace Palace Phnom Penh.

Kedua-dua pemimpin akan mengadakan pertemuan empat mata untuk membincangkan hubungan dua hala, isu serantau selain daripada kerjasama di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri majlis menghadap Raja Kemboja, Baginda Norodom Sihamoni bertempat di Istana Negara sebelum berlepas ke Bangkok, Thailand.

Artikel Berkaitan:

Malaysia merupakan pelabur ketiga terbesar di Kemboja dengan Pelaburan Langsung Asing bernilai AS$3.53 bilion antara 1994 hingga 2020, di belakang China dan Korea Selatan. Pelaburan Malaysia kebanyakannya di dalam sektor perbankan, telekomunikasi, penjanaan kuasa dan hiburan.

Antara syarikat Malaysia yang beroperasi di sini ialah Maybank, CIMB Bank, Public Bank, Hong Leong Bank, Smart Axiata, Muhibbah Engineering, Sunway International, Nagaworld dan Leader.

Terdapat kira-kira 5,000 rakyat Malaysia menetap di Kemboja dan 2,000 daripadanya berada di ibu kota Phnom Penh.

Kemboja merupakan tuan rumah bagi ASEAN 2022 dan merupakan negara keempat dilawati Perdana Menteri sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada 21 Ogos tahun lepas.

Ismail Sabri sebelum itu melawat Indonesia, Singapura dan Brunei.- Bernama