Finas digesa kaji program MyCAP, wujudkan semula Padu Citra

Dr Ahmad Ibrahim
Dr Ahmad Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengkaji Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) selain mewujudkan semula Padu Citra yang dimansuhkan tahun lalu.

Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim berkata, Padu Citra yang dimansuhkan pada 1 Februari 2021 perlu diwujudkan semula bagi menggalakkan semua pemohon Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) menganggotai persatuan iaitu FDAM bagi kategori pengarah, Persatuan Seniman Malaysia (pelakon) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (kru produksi).

"Finas telah bersetuju dengan cadangan tersebut dalam satu pertemuan antara badan kerajaan itu dengan FDAM yang berlangsung di Finas Hulu Kelang, baru-baru ini.

"Sepertimana penggiat seni tahu, MyCAP diwujudkan untuk menilai tahap kemahiran penggiat seni yang masuk dalam industri kreatif, namun pelaksanaannya masih kabur dan tidak jelas untuk diterima penggiat seni,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyuarakan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim yang prihatin dan peka kepada permasalahan industri, termasuk isu MyCAP dan Padu Citra.

"Md Nasir sangat mesra persatuan dan daripada perbincangan FDAM dengan Finas baru-baru ini menunjukkan beliau mempunyai pelbagai perancangan membangunkan industri secara holistik di samping mengharmonikan perhubungan antara Finas dengan persatuan filem.

"FDAM menyokong segala saranan dan usaha Finas dalam membantu penggiat seni khususnya aspek pembangunan modal insan menerusi program latihan yang dilaksanakan," katanya.

Ahmad berkata, program diwujudkan khusus kepada penggiat seni menggambarkan perancangan yang sistematik daripada Md Nasir yang mengambil kira aspek latihan dan kerjasama dengan persatuan.

Artikel Berkaitan:

"Daripada apa yang kami bincangkan, Finas akan memperkenalkan semula Padu Citra tetapi dengan nama baharu yang akan diumumkan kelak,” katanya.