Tujuh lagi Akademi Tunas NFDP dibuka tahun ini

Ti Lian Ker (kanan) ketika hadir merasmikan Akademi Tunas Raub di Kompleks Tunas Muda Raub pada Ahad. - Foto NFDP
Ti Lian Ker (kanan) ketika hadir merasmikan Akademi Tunas Raub di Kompleks Tunas Muda Raub pada Ahad. - Foto NFDP
A
A
A

SEBANYAK tujuh lagi Akademi Tunas, platform melahirkan atlet pelapis menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan dibuka tahun ini, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker.

Bagaimanapun, beliau berkata, lokasi akademi berkenaan masih belum dimuktamadkan dan kementerian terbuka menerima cadangan daripada mana-mana pihak berhubung kawasan yang sesuai untuk dijadikan pusat latihan itu.

“Secara keseluruhan tahun ini Majlis Sukan Negara (MSN) sasar untuk mempunyai 62 Akademi Tunas bagi melatih lebih ramai peserta, dan setakat hari ini kita sudah mempunyai 55 akademi.

“Dengan pembukaan beberapa lagi akademi kita dapat mengesan lebih banyak bakat dan berharap ibu bapa dapat menyokong dan membantu minat anak mereka terhadap sukan bola sepak ini, ” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Tunas Raub di Kompleks Tunas Muda Raub di sini pada Ahad.

Turut dihadiri Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Akademi Tunas Raub merupakan yang ke-55 di Malaysia dan keempat di Pahang telah memulakan pencarian bakat hari ini, sekali gus menjadikan ia sebagai hab bola sepak bagi kanak-kanak yang berumur tujuh hingga 12 tahun yang berada di sekitar Raub, Lipis dan Bentong.

Menurut beliau, lebih 200 kanak-kanak telah menghadiri sesi uji bakat berkenaan sebelum 120 dipilih ke peringkat seterusnya iaitu memulakan latihan di akademi berkenaan.

Terdahulu, Lian Ker dalam ucapannya berkata, program NFDP itu merupakan satu platform untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan kanak-kanak, selain ke arah melahirkan para atlet pelapis negara.

Artikel Berkaitan:

“Pendedahan ini perlu berterusan dan dilaksanakan secara sistematik supaya impaknya nanti dapat dikecapi seterusnya melahirkan para atlet yang hebat suatu hari nanti,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!