Sistem SPIM digodam, Tekun Nasional buat laporan polis

Noh
Noh
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional membuat laporan polis pada Rabu lepas susulan sistem permohonan dalam talian bagi Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) dipercayai digodam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pada awalnya, TEKUN Nasional menjelaskan isu kelewatan dalam memproses permohonan, kelulusan dan penyaluran pembiayaan SPIM adalah disebabkan gangguan teknikal, namun setelah siasatan dalaman dilakukan, ia dikenal pasti berpunca daripada digodam.

"Saya dapat aduan orang ramai yang mengatakan bayaran lambat, sebenarnya perkara tersebut (berlaku) ialah kerana sistem ini telah dikesan digodam pada 8 Februari menyebabkan sistem ini terganggu.

"Jadi kerana itu, TEKUN telah membuat laporan polis. Walaupun sistem ini telah digodam, TEKUN masih terus membuat bayaran secara manual antaranya menerusi cek,” katanya pada sidang media selepas program SPIM Bantu Usahawan Pulih Perniagaan Semasa Pandemik Covid-19 di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata kes berkenaan tidak melibatkan sebarang kerugian wang dan ia masih dalam siasatan polis.

Noh berkata, pihaknya menerusi TEKUN Nasional melancarkan SPIM bagi membantu usahawan yang terjejas akibat Covid-19 dan banjir, permohonan dibuka bermula 1 hingga 15 Januari lepas dengan dana berjumlah RM200 juta.

Beliau berkata sebanyak 23,767 permohonan telah diterima dan setakat 15 Februari lepas, 15,902 permohonan telah diluluskan melibatkan RM130.5 juta.

"Sehingga kini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM110.1 juta kepada 13,370 usahawan di bawah SPIM melalui cetakan cek dan termasuk juga pindahan dana elektronik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata penyaluran pembiayaan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya pada pertengahan Mac ini. - Bernama