Bekas pengarah AADK Melaka didakwa terima rasuah

Mohamad Yusof (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen, di sini, pada Jumaat.
Mohamad Yusof (kiri) ketika keluar dari Mahkamah Sesyen, di sini, pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Bekas pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas pertuduhan menerima rasuah membabitkan penyenggaraan dan pembekalan agensi itu, lima tahun lalu.

Tertuduh Mohamad Yusof Kameh, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kesemua pertuduhan satu hingga empat, Mohamad Yusof didakwa menerima suatu suapan keseluruhan berjumlah RM5,900 untuk dirinya daripada seorang individu sebagai upah memilih Syarikat Rahim Maarop Enterprise, Syarikat Mutiara Event Management & Supplies, dan Syarikat Rantaian Rezeki Enterprise.

Suapan tersebut sebagai dorongan bagi kerja-kerja penyenggaraan lokap di AADK Jasin, memilih perkhidmatan mencetak dan membekal beg kertas agensi, penyenggaraan genset di AADK Jasin selain menyediakan kelengkapan makanan dan minuman bagi program kembara perdana bulan anti dadah untuk AADK Melaka.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat AADK Melaka, Ayer Keroh, menerusi empat transaksi berasingan antara 24 November 2017 sehingga 19 Mac 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut ditawarkan empat pertuduhan pilihan mengikut seksyen 165 kanun keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irwan Shah Abdul Samat memohon jaminan RM5,000 diberikan kepada tertuduh dan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM berdekatan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Yusof yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan.

Elesabet kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM Sungai Petani, Kedah setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan tarikh lantikan peguam dan sebutan semula ke pada 16 Mac depan.