KPWKM nafi anak Siew Hong dipindahkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan dakwaan bahawa anak-anak Loh Siew Hong telah dipindahkan ke institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang lain.

Menerusi kenyataannya, kementerian itu memaklumkan, Siew Hong telah melawat tiga anaknya yang ditempatkan di institusi kebajikan di bawah JKM di Perlis, pada Rabu.

"Ibu kepada tiga orang anak ini telah melawat anak-anaknya pada tengahari ini," katanya.

KPWKM berkata, anak Siew Hong ditempatkan di institusi kebajikan JKM atas permohonan wanita itu sendiri setelah mendapat perintah mahkamah.

"Penempatan ini dibuat bagi mengutamakan kepentingan untuk perlindungan dan kebajikan kanak-kanak tersebut," kata kementerian itu.

Ujar KPWKM, dalam menguruskan lawatan keluarga, institusi kebajikan perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Kanak-Kanak (Tempat Selamat) 2017 kerana institusi kebajikan telah diwartakan sebagai Tempat Selamat di bawah Akta KanakKanak 2001.

"Semua pelawat hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat (Pelindung) terlebih dahulu sebelum dibenarkan membuat lawatan," katanya.

Dalam usaha mencegah penularan pandemik Covid-19, institusi kebajikan JKM telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) di mana setiap pelawat perlu membuat ujian RTK-AG kendiri dan mengemukakan keputusan negatif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Peraturan ini terpakai untuk semua institusi kebajikan di bawah JKM dan pengadu mematuhi SOP yang ditetapkan ketika membuat lawatan," katanya.