Peniaga dikhuatiri lemas, kenderaan terjunam ke dalam sungai

Seorang peniaga dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat rodanya terbabas ke dalam sungai di Jambatan Tembila, Besut, Terengganu pada Rabu. - Foto Astro Awani
Seorang peniaga dikhuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat rodanya terbabas ke dalam sungai di Jambatan Tembila, Besut, Terengganu pada Rabu. - Foto Astro Awani
A
A
A

BESUT - Seorang peniaga dikhuatiri lemas setelah kenderaan dipandu terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai di Jambatan Tembila, disini pada Rabu.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, mangsa, Shukri Wahab, 52, yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux hilang, manakala isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51, ditemui berpaut pada sebatang pokok di tebing sungai kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian sekitar jam 9.25 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pasangan suami isteri itu dipercayai dari arah Kelantan ke Kuala Terengganu.

"Sebaik tiba di Jambatan Tembila, kenderaan mereka dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar besi penghadang jambatan dan terjatuh ke dalam sungai.

"Setakat ini pemandu masih belum ditemui manakala penumpang yang ditemui telah diselamatkan dan dikejarkan ke Hospital Besut untuk menerima rawatan," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Operasi mencari mangsa kini giat dijalankan melibatkan 48 anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sementara itu, Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, seramai 24 anggota bersama sebuah water tender, sebuah EMRS, dua pajero, dua lori dan sebuah bot aluminium turut serta dalam operasi mengesan pemandu kenderaan itu.

Artikel Berkaitan: