Kastam Kelantan rampas 2.5 juta batang rokok seludup

Mohd Nasir (dua dari kiri) menunjukkan rokok yang dirampas di sebuah rumah tidak bernombor di Pengkalan Chepa pada Isnin lalu.
Mohd Nasir (dua dari kiri) menunjukkan rokok yang dirampas di sebuah rumah tidak bernombor di Pengkalan Chepa pada Isnin lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 248 peti yang mengandungi 2.5 juta batang rokok seludup bernilai RM496,000 di sebuah rumah tidak bernombor di Pengkalan Chepa, di sini pada Isnin lalu.

Pengarah Kastam Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, dalam serbuan jam 4 petang pada 14 Februari lalu itu pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok melibatkan cukai berjumlah RM1.68 juta yang dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Modus operandi yang digunakan adalah dengan membawa masuk rokok seludup tersebut melalui sempadan negara melalui Sungai Golok dan menjadikan rumah terbabit sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum diedarkan ke pasaran tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, Kastam Kelantan sedang mengesan pemilik premis berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Justeru, orang ramai digesa membantu pihak kami memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

"Kami juga nasihatkan agar mana-mana pihak tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ia juga turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Orang ramai turut diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan dengan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak kami memberi jaminan setiap identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan," ujarnya.

Artikel Berkaitan: