Rasuah: Peniaga baja didenda RM100,000

Soon Teck didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah beri suapan sebanyak RM30,150 kepada pegawao KPDNHEP, empat tahun lalu.
Soon Teck didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah beri suapan sebanyak RM30,150 kepada pegawao KPDNHEP, empat tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang peniaga baja didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi rasuah RM30,150 kepada seorang penjawat awam, empat tahun lalu.

Hakim M Bakri Abd Majid membuat keputusan itu selepas tertuduh, Lee Soon Teck, 53, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan terhadapnya.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah itu dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi suapan berbentuk wang tunai berjumlah RM30,150 kepada Pembantu Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Muhammad Fithry Hassan.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk melepaskan tertuduh daripada diambil tindakan undang-undang kerana menyimpan baja bersubsidi tanpa lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Batu 6, Jalan Baru, Parit Buntar, kira-kira pukul 10.30 pagi pada 8 Oktober 2018.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak sampai 10 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili peguam, Kailashii Vasudevan Appu.

April tahun lalu, media melaporkan tertuduh mengaku tidak bersalah di bawah mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 bagi kesalahan sama.