Mahkamah kekalkan denda RM50,000 kepada Petronas Carigali

 Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Selasa mengekalkan denda RM50,000 yang dikenakan terhadap Petronas Carigali Sdn Bhd kerana gagal mengadakan sistem kerja selamat yang menyebabkan kematian seorang pekerja lapan tahun lepas di Kemaman, Terengganu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara menolak rayuan Petronas Cari Gali Sdn Bhd selepas membuat keputusan bahawa tiada kesilapan yang boleh dirayu dilakukan oleh Mahkamah Tinggi dalam mendapati perayu bersalah di bawah Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP).

"Mengikut Seksyen 15 (1) AKKP 1994, adalah menjadi tugas perayu (Petronas CariGali) ialah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Perayu gagal memastikan kontraktor patuh kepada Penyataan Kaedah Kerja dan gagal melakukan Analisis Bahaya Pekerjaan. Oleh sebab itu rayuan ditolak dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya.

Mahkamah Rayuan juga menetapkan RM50,000 sebagai kos kepada penghakiman.

Dua lagi hakim yang bersidang adalah Datuk Che Mohd Ruzima dan Datuk Nordin Hassan.

Pada 28 Disember 2017, Mahkamah Sesyen Kemaman menjatuhkan hukuman denda RM50,000 terhadap Petronas Carigali selepas didapati bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan syarikat itu membayar kos RM5,000 kepada pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 17 November 2019 mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu.

Mengikut pertuduhan, Petronas Carigali sebagai majikan, didakwa telah gagal untuk memastikan kewajipannya, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja bagi pekerjanya iaitu Md Noor Yusof dengan gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja ‘remove and install grating’ di platform tersebut, sehingga menyebabkan kemalangan ke atas Md Noor.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di RSD Valve Manifold Platform, Petronas Carigali Sdn Bhd, Onshore Gas Terminal, Kemaman di Terengganu pada jam 3.20 petang, 13 Mac 2014 dan dituduh mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama.

Artikel Berkaitan:

Prosiding itu dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron selaku responden manakala Petronas Carigali diwakili peguam, K Ragunath. - Bernama