Banci 2020 indikator penting tentukan agihan kekayaan saksama: PM

Ismail Sabri (kiri) bersama Dr Mohd Uzir (kanan) melawat ruang pameran selepas Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci 2020 di Dewan Canselor Management dan Science University (MSU) Seksyen 13 hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kiri) bersama Dr Mohd Uzir (kanan) melawat ruang pameran selepas Majlis Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci 2020 di Dewan Canselor Management dan Science University (MSU) Seksyen 13 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Data yang diperolehi menerusi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 atau ringkasnya Banci Malaysia 2020 akan menjadi indikator terperinci dan mikro yang amat signifikan dalam memastikan dasar dan polisi dapat digubal bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi serta agihan kekayaan yang lebih saksama.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sekali gus akan mengurangkan jurang antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan di negara ini serta memastikan kelestarian alam sekitar terjaga.

“Bagi tujuan tersebut, sudah pastilah keperluan mengeluarkan pelbagai data dan indikator di peringkat terperinci dan mikro amat signifikan.

"Maklumat bukan lagi diperlukan di peringkat negeri mahupun daerah malah di peringkat mukim, lokaliti seperti taman mahupun kampung.

“Perkara ini amat diperlukan supaya kerajaan dapat menggubal polisi bersasar dan pengagihan kesejahteraan kepada rakyat secara saksama,” katanya ketika berucap melancarkan Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 di Management & Science University (MSU) di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan 2020, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Ismail Sabri berkata, usaha itu juga menyokong rancangan pembangunan lima tahun ke arah merealisasikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 iaitu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah digariskan sebelum ini.

Katanya, melalui rancangan itu kerajaan dapat menggubal dan melaksanakan dasar fiskal bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta menguruskan pengagihan sumber kewangan dengan cekap dan berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Statistik Banci Penduduk dan Perumahan dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia termasuklah saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan.

"Bertitik-tolak daripada maklumat yang diperoleh inilah kerajaan akan dapat menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan bernilai berbilion ringgit Malaysia dapat dibelanjakan di seluruh negara," ujar beliau.

Ismail Sabri menambah, dari situ juga kerajaan dapat menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat yang layak dan memerlukan seperti menangani jurang pendapatan dan kekayaan rakyat yang semakin melebar, membasmi kemiskinan dan mengurus kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), termasuk golongan mudah terjejas (rentan ekonomi) dan terpinggir.

"Di sini, Jabatan Perangkaan juga bertanggungjawab dalam mengeluarkan pengiraan kumpulan isi rumah berpendapatan mengikut kategori B40, M40 dan T20.

"Kumpulan sasar seperti warga emas dan golongan kelainan upaya turut tidak akan terkecuali menikmati limpahan kesejahteraan ini. Penghasilan profil yang terperinci akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan

perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya dan pengangkutan awam," katanya lagi.

Dapatan itu juga akan digunakan untuk pengiraan pendapatan perkapita, penggubalan dasar-dasar warga emas dan perancangan sosial.

Di samping menentukan dasar dan polisi yang terbaik, kata beliau, maklumat yang dikumpulkan melalui banci ini akan digunakan untuk menilai pencapaian negara pada masa kini.

"Data yang dikumpul melalui Banci Penduduk dan Perumahan 2020 dapat memberikan gambaran kepada kita, di mana kita berada. Kerajaan juga dapat menyediakan input terbaik dalam meletakkan hala tuju negara pada masa akan datang.

Bancian terkini dalam penemuan utama Banci Malaysia 2020 itu mencatatkan kadar pertumbuhan penduduk di negara meningkat sebanyak 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun dengan jumlah penduduk direkodkan adalah 32.4 juta orang.