Lagi penyu agar ditemukan mati di Pantai Kijal

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seekor anak penyu agar betina dianggarkan berumur dua tahun ditemukan mati terdampar di Pantai Kijal dekat Kemaman pagi Isnin.

Bangkai haiwan itu dijumpai oleh seorang pemajak telur penyu, Roslan Muhammad, 54, pada jam 8.30 pagi ketika berada di pantai tersebut untuk melakukan kerja-kerja mengutip telur penyu.

"Kematian penyu sangat membimbangkan kerana ini adalah kali ketiga saya terjumpa bangkai penyu dalam tempoh dua minggu. Penemuan kali pertama oleh anak saya pada 30 Januari lalu..

"Sehari selepas itu, saya terjumpa bangkai penyu pada jarak lima kilometer dari lokasi pertama dan hari ini, jumpa lagi bangkai penyu di sekitar pantai sama, dalam satu kilometer dari lokasi penemuan kedua. Saya telah buat laporan mengenai penemuan ini kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Roslan yang menjadi pemajak telur penyu sejak 15 tahun lalu berkata, dia telah menanam bangkai itu di lokasi berhampiran ia ditemukan.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap bangkai penyu itu mendapati hanya bahagian kepala sahaja terdapat kesan retak dan ia dipercayai mati lemas kerana terperangkap dalam pukat nelayan.

Difahamkan, ini adalah penyu yang ke-19 ditemukan terdampar di pesisir pantai Terengganu pada tahun ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pemuliharaan Pulau Kapas, Mohd Farith Rezza Isa berharap Jabatan Perikanan Negeri Terengganu akan memperhebatkan lagi operasi khas untuk mencegah penggunaan pukat pari dan aktiviti pukat tunda di laut.

Artikel Berkaitan:

"Antara punca kematian penyu ialah lemas kerana terperangkap dalam pukat. Ini boleh dielak sekiranya tiada lagi nelayan menggunakan pukat tersebut yang telah dilarang oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

"Penyu hanya mampu bertahan dua jam di dalam air, apabila terperangkap dalam pukat, risikonya untuk lemas sangat tinggi. Namun, sayang sekali masih ramai nelayan tidak bertanggungjawab menggunakan pukat pari untuk memudahkan kerja mereka," katanya. - Bernama