Penyiar, pengendali stesen radio perlu tingkat kreativiti: Annuar

Annuar - Foto Bernama
Annuar - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mahu penyiar dan pengendali stesen radio meningkatkan kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan kerana medium komunikasi itu mempunyai peranan besar dalam kemajuan negara bangsa.

Pada masa sama, beliau berkata, radio perlu sentiasa mengekalkan tahap profesionalisme kewartawanan bagi memastikan perkhidmatan itu kekal relevan dan berdaya maju.

"Kita ingin lihat kreativiti para penyiar bagaimana mengadunkan bahan berita dengan muzik serta ilmu-ilmu asas seperti ilmu agama dan ilmu formal di sekolah juga boleh disiapkan keupayaannya menggunakan suara dan teknologi radio.

"Saya sangat berharap daya kreativiti para penyiar, pengendali stesen radio, penggiat dan pencinta komunikasi melalui radio agar sama-sama membangunkan perkhidmatan radio di Malaysia yang terbaik dan bermutu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan sambutan Hari Radio Sedunia secara maya dalam program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di TV1 pada Ahad. Hari Radio Sedunia disambut pada 13 Februari setiap tahun.

Sambutan tahun ini yang bertemakan 'Radio dan Keyakinan' turut diperincikan kepada tiga sub tema iaitu kebolehpercayaan dalam kewartawanan radio, kebolehpercayaan dan kebolehaksesan serta kebolehpercayaan dan daya maju stesen radio.

Berteraskan sub tema itu, Annuar berkata, perkhidmatan radio perlu memastikan kandungan yang disiarkan adalah tepat, cepat, berkesan dan sekali gus dapat melahirkan keyakinan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Dari sudut kebolehaksesan pula, beliau berkata, radio harus kekal sebagai medium komunikasi penting kerana ia mempunyai tahap kebolehcapaian lebih luas dan berkesan, selain radio turut bersaing dengan kaedah penyebaran berita yang lain perlu mempunyai tahap kedayahidupan dan boleh dioperasikan sepanjang masa.

"Walaupun teknologi pada masa kini mengalami perubahan, radio masih kekal mampan kerana selain penglihatan, sentuhan dan deria rasa, pancaindera pendengaran mempunyai peranan sangat penting sebagai medium komunikasi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sambutan Hari Radio Sedunia mula dianjurkan atas inisiatif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2012 bagi mengiktiraf sumbangan dan peranan radio.

Sementara itu, Annuar dalam temu bual eksklusif bersama Bernama Radio sempena sambutan Hari Radio Sedunia berkata, penyiar dan pengendali stesen radio perlu mengetengahkan kandungan bermutu supaya mencapai standard setaraf medium penyebaran maklumat yang lain.

“Kandungan bermutu dan pengetahuan masih merupakan perkara yang paling penting (dalam penyiaran radio), selain aspek kreativiti dalam penyampaian... kandungan yang berkualiti hanya akan datang daripada penyiar yang mempunyai pengetahuan luas.

“Khalayak kini mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi dan sekiranya kandungan penyiaran tidak mencapai tahap yang dimahukan pendengar maka kita akan terbelakang,” katanya di sini.

Beliau berkata, idea pensegmenan stesen radio juga boleh dilaksanakan bagi memenuhi kehendak pendengar sebagai contoh, siaran radio yang tertumpu kepada pendidikan agama, ekonomi digital dan industri kreatif selain siaran radio khusus mengikut demografi.

Annuar turut merakamkan penghargaan kepada penyiar, pengendali stesen radio dan seluruh warga kerja yang berkhidmat di stesen-stesen radio di seluruh negara sempena sambutan itu. -Bernama