Piala SMJ medan pemanas badan hadapi Liga-M

Keempat-empat jurulatih pasukan yang bertanding bergambar bersama Piala SMJ 2020. FOTO: Sabah Football Club
Keempat-empat jurulatih pasukan yang bertanding bergambar bersama Piala SMJ 2020. FOTO: Sabah Football Club
A
A
A

JURULATIH dan pemain bagi empat pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang berentap pada Kejohanan Piala Sabah Maju Jaya (Piala SMJ) 2022 akan memanfaatkan sepenuhnya perlawanan pramusim itu bagi mempersiapkan pasukan menghadapi saingan liga musim ini.

Kejohanan empat penjuru berlangsung di Stadium Likas bermula Sabtu hingga 18 Februari itu disertai Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan FC dan Sarawak United FC.

Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, semua pasukan dan pemain termasuk Sabah FC diharap dapat menggunakan kejohanan itu sebagai platform untuk meningkatkan kualiti persembahan dan kemampuan masing-masing sebelum saingan liga bermula.

"Tujuan kita mengadakan kejohanan seperti ini untuk mempersiapkan pasukan masing-masing dan saya harap semua pasukan terlibat akan mendapatkan sesuatu untuk membina (pasukan) sebelum Liga Super bermula.

"Saya percaya, (semua pasukan dan pemain) bukan sahaja untuk mendapatkan pendedahan, tetapi juga cuba untuk menjuarai Piala SMJ ini buat pertama kali," katanya dalam sidang media di Stadium Likas di sini pada Sabtu.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, anak buahnya telah berlatih selama lebih kurang enam minggu untuk persiapan pramusim dan mempunyai barisan pemain yang cukup untuk beraksi pada perlawanan tersebut.

Bagi Ketua Jurulatih Sarawak United FC pula, E Elavarasan menyifatkan kejohanan Piala SMJ adalah ruang baginya menilai prestasi pasukannya untuk menambah baik kualiti persembahan para pemain.

Pengendali KDA FC, Aidil Shahrin Sahak berkata, jemputan menyertai Piala SMJ menjadi ruang buat skuad kendaliannya itu mempelajari sesuatu seterusnya memperbaiki corak permainan agar dapat mempamerkan aksi terbaik dalam saingan liga musim ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya bersetuju dengan pandangan jurulatih lain mengenai manfaat yang bakal diperoleh daripada kejohanan itu dan berharap para pemainnya dapat memberikan komitmen terbaik dalam kejohanan tersebut.

Piala SMJ menggunakan format 'round-robin' dengan setiap pasukan akan bermain tiga perlawanan dan juara akan ditentukan menerusi mata, perbezaan jaringan, jumlah jaringan dan 'fair play'.

Perlawanan pertama pada Sabtu menyaksikan pertembungan antara Sabah FC dan Kelantan FC, manakala Kedah Darul Aman FC pula akan menentang Sarawak United FC. - Bernama