Saman 1MDB AS$8 bilion terhadap Najib, tujuh lain ditangguh

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding saman sivil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) AS$8 bilion di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak dan tujuh pihak lain ditangguhkan sehingga kes jenayah berkaitan penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu selesai.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohd Najib berkata, pihak 1MDB selaku plaintif dan defendan-defendan bersetuju untuk menangguhkan prosiding saman sivil itu.

"Maka anak guam saya menarik balik permohonan untuk menggantung prosiding berkenaan yang sepatutnya didengar hari ini.

"Bagaimanapun mahkamah meminta kedua-dua pihak memfailkan pembelaan dan permohonan interlokutori sebagai persediaan sebelum bicara kes saman bermula," katanya ketika ditemui selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Atan Mustaffa Yussof Ahmad.

Ia turut disahkan oleh peguam Datuk DP Naban yang mewakili 1MDB dan empat anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited selaku plaintif.

Pada Khamis, mahkamah dijadualkan mendengar permohonan Mohd Najib untuk menggantung prosiding saman sivil AS$8 bilion oleh 1MDB.

Namun, permohonan penggantungan itu ditarik balik selepas kedua-dua pihak bersetuju perbicaraan tidak akan dimulakan buat masa ini.

Saman AS$8 bilion itu adalah salah satu daripada 22 saman sivil yang difailkan untuk menuntut lebih AS$23 bilion terhadap beberapa individu yang didakwa terlibat dalam skandal kewangan melibatkan 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Pada 7 Mei 2021, writ saman itu pada asalnya difailkan oleh 1MDB dan dan empat anak syarikat kepada 15 defendan termasuk bekas Perdana Menteri.

Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, atau lebih dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited selaku plaintif.

Selain Mohd Najib, saman itu difailkan terhadap bekas Pengarah 1MDB, Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram.

Turut dinamakan sebagai defendan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman, Azmi Tahir, Radhi Mohamad serta bekas pegawai 1MDB, Terence Geh Choh Heng, Jasmine Loo Ai Swan, Casey Tang Keng Chee, Vincent Beng Huat Koh, Kelvin Tan Kay Jin dan Nik Faisal Ariff Kamil.

Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya dilapor menggugurkan tujuh daripada 15 defendan itu.

Mereka ialah Che Lodin, Ismee, Gim Huat, Ashvin Jethanand, Shahrol Azral, Mohd Hazem dan Azmi.