X

Kindly register in order to view this article
!

Rahimi stabil selepas pembedahan ketiga

Gambar kecil, Phee Boon Poh.
A
A

GEORGETOWN - Rahimi Ahmad dilaporkan menjalani pembedahan ketiga bagi mengeluarkan serpihan peluru selepas ditembak pengganas di Masjid Al-Noor, Christchurch, New Zealand tiga hari lalu.

Exco Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, Rahimi selesai menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru di bahagian tulang belakangnya.

"Ini adalah pembedahan ketiga yang bermula pada jam 8 pagi tadi (waktu New Zealand) dan selesai kira-kira jam 12 tengah hari. Keadaannya stabil.

"Beliau akan menjalani pembedahan untuk membuang baki serpihan peluru pada Rabu ini," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Sebelum ini, Rahimi, 39, berasal dari Bayan Lepas ditembak pada bahagian perut dan bahagian belakangnya dalam kejadian Jumaat lalu yang turut mengorbankan 50 orang awam.

Boon Poh berlepas ke New Zealand bersama Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz merupakan wakil Kerajaan Pulau Pinang untuk melawat tiga mangsa dari Malaysia yang cedera selepas diserang ketika berada di masjid di New Zealand, 15 Mac lalu.

Mereka turut melawat Mohd Tarmizi Shuib dari Kedah dan Mohd Nazril Hisham Omar dari Kelantan.

Sementara itu, Azrul berkata, Tarmizi yang ditemani anak perempuannya, Fatin Nadhirah dipindahkan ke wad lain bagi persediaan untuk menjalani pembedahan.

"Isteri Tarmizi kini berada di balai polis untuk mendapatkan maklumat mengenai anak mereka, Mohd Haziq, 17, yang masih belum ditemui. Saya juga melawat Mohd Nazril yang kini dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan malam semalam.

"Saya berkesempatan berbual dengan isterinya, Profesor Madya Dr Zurinawati Mohyi. Mohd Nazril masih trauma selepas kejadian itu kerana ketika kejadian, dia terbaring di antara mayat yang terkorban akibat serangan tersebut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!