Solusi banjir, saliran dibentang hujung Februari ini

Izham ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pasca Banjir Kakitangan Jabatan dan Agensi di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Selasa.
Izham ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pasca Banjir Kakitangan Jabatan dan Agensi di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Selasa.
A
A
A
SHAH ALAM - Beberapa cadangan dan solusi berkaitan pengairan, saliran yang boleh menjurus kepada banjir akan dibentangkan pada Pemukiman Exco Kerajaan Selangor di Pulau Langkawi, Kedah pada 23 Februari ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, solusi tersebut meliputi tiga komponen pengairan utama iaitu pembinaan kolam, sistem saliran dan kaedah pelepasan air bagi pengurusan banjir yang bakal menjadi tumpuan utama pemukiman.

Izham berkata, ketiga-tiga komponen tersebut perlu diuruskan secara bersepadu dan tidak boleh dilihat sebagai elemen yang berasingan.

"Pengurusan banjir ini ada tiga komponen, iaitu pembinaan kolam seperti empangan dan kolam takungan, tasik dan sebagainya. Kedua ialah sistem saliran seperti sungai, parit, longkang termasuk terowong. Ketiga ialah titik pelepasan air, ada kelaut ke dalam tasik dan sebagainya.

"Kita akan bawa cadangan tersebut untuk dilihat daripada semua sudut setelah bermesyuarat bersama beberapa agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geo Sains (JMG) Selangor dan Landasan Lumayan Sdn Bhd yang menguruskan Sungai Klang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pasca Banjir Kakitangan Jabatan dan Agensi di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Selasa.

Pada majlis tersebut, seramai 709 kakitangan di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor yang terjejas akibat banjir menerima bantuan kewangan dan barangan elektrik daripada syarikat-syarikat swasta.

Izham berkata, jumlah sumbangan sebanyak RM870,000 itu diagihkan kepada mangsa mengikut tiga kategori kerosakan yang dilaporkan oleh ketua jabatan masing-masing.

"Penerima kategori ringan menerima wang tunai sebanyak RM500, manakala kategori sederhana menerima barangan elektrik bernilai RM1,200, dan kategori serius pula menerima barangan sama bernilai RM2,000.
Artikel Berkaitan:


"Kita harap bantuan ini dapat meringankan beban yang mereka terpaksa tanggung kesan daripada banjir," katanya.