Mudahnya masuk perangkap scammer

Datuk Mazlan Mansor - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Datuk Mazlan Mansor - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

DALAM peredaran zaman yang semakin canggih dari segi teknologi, tidak dinafikan wujud pihak mengambil kesempatan mengaut untung mudah dengan cara salah.

Pelbagai modus operandi digunakan, ada yang menyamar sebagai agensi penguat kuasa seperti polis, kastam serta pegawai bank dengan menakut-nakutkan agar wang segera dipindahkan. Ada yang menyamar sebagai bomoh hingga mangsa menggadai wang serta tubuh.

Selain itu, wujud juga sindiket penipuan didalangi warga asing yang kononnya menagih cinta walhal itu sekadar janji manis semata-mata.

Peliknya, bagaimana penipuan ini terus berlaku? Adakah sebab masyarakat kita tidak cerdik atau hidup terlalu sunyi hingga mudah jatuh cinta hanya melalui laman Facebook?

Percaya atau tidak, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor mendedahkan, kerugian yang dialami mangsa dicatatkan pada 2017 dan 2018 mencecah RM1.5 billion hingga RM2 billion.

Scammer semakin berani

"Ini merupakan angka yang sangat besar dan angka ini tidak mencatatkan penurunan kerana masyarakat kita mudah terpedaya.

"Banyak kes-kes jenayah komersil yang sering dilaporkan antaranya belian online, Macau Scam, African Scam, Tipu Pelaburan dan Pinjaman Tak Wujud," katanya dalam wawancara khas bersama WARTAWAN SINAR HARIAN baru-baru ini.

Mazlan berkata, pelaku scammer pada hari ini semakin berani apabila melalui satu panggilan telefon ditambah dengan tutur bicara meyakinkan, membuatkan mangsa beranggapan situasi itu perkara sebenar.

Artikel Berkaitan:

Scammer bijak mengambil peluang memperdayakan mangsa.
Scammer bijak mengambil peluang memperdayakan mangsa.

"Tapi bagi mangsa yang tidak melayan, sindiket akan tutup panggilan tersebut. Sebaliknya, siapa yang melayan akan terus ditipu hingga terpedaya," katanya.

Berhubung pembabitan 'keldai' akaun warga tempatan dalam kes penipuan, Mazlan memberitahu, berdasarkan maklumat, mereka yang terlibat sebagai 'keldai' akaun ini adalah mereka yang terdesak memerlukan pekerjaan atau memerlukan wang antaranya seperti penagih dadah.

Namun begitu katanya, ada segelintir pemilik akaun yang sememangnya diupah untuk membuat akaun dengan bayaran RM50 hingga RM250 bagi setiap akaun.

"Orang ramai yang was-was dengan tawaran sindiket yang memberikan nombor akaun untuk tujuan pemindahan wang dan seumpamanya, mereka boleh semak melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi melihat sama ada akaun itu pernah disiasat atau sebaliknya," katanya.

Antara rampasan dan kejayaan PDRM dalam usaha menumpaskan jenayah penipuan di dalam negara.
Antara rampasan dan kejayaan PDRM dalam usaha menumpaskan jenayah penipuan di dalam negara.

Ketika ditanya mengapa sindiket scammer ini dilihat sering bersilih-ganti, beliau berkata, mengambil contoh Macau Scam dan African Scam, kedua-dua sindiket ini mempunyai rangkaian yang besar.

"Walaupun terdapat tangkapan ahli-ahli sindiket ini di Malaysia, wujud kemungkinan untuk sindiket ini merekrut ahli baharu dan menjalankan kegiatan mereka semula. Jadi, usaha untuk membanteras kegiatan mereka terus giat dilaksanakan," katanya.

Takut buat laporan polis

Mazlan menjelaskan, tidak dinafikan masih ada mangsa yang enggan tampil membuat laporan polis selepas masuk perangkap scammer.

Faktornya adalah mereka beranggapan memberi implikasi buruk terhadap keluarga selain bimbang dengan keselamatan diri.

“Sebaiknya mangsa tampil kepada polis dan salur maklumat supaya polis dapat mengesan sindiket ini,” katanya.

Tegasnya, pencegahan adalah cara paling berkesan bagi menangani penipuan jenayah komersil yang membabitkan kerugian besar.

Laporan khas Sinar Harian berkaitan isu scammer.
Laporan khas Sinar Harian berkaitan isu scammer.