Bot karam: Seorang nelayan hilang, 16 diselamatkan

Antara 16 mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam pada Isnin. - Foto Maritim Kedah/Perlis
Antara 16 mangsa yang terselamat dalam kejadian bot karam pada Isnin. - Foto Maritim Kedah/Perlis
A
A
A

LANGKAWI - Seorang nelayan masih hilang manakala 16 lagi berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Payar di sini, pada Isnin.

Dalam kejadian pada jam 10.40 pagi itu, 17 nelayan warga Thailand berusia antara 27 hingga 57 tahun itu sedang menangkap hasil laut.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, kejadian berlaku pada kedudukan 5.0 batu nautika dari barat laut Pulau Payar.

"Seramai 16 mangsa termasuk tekong sempat diselamatkan oleh nelayan tempatan sebelum dipindahkan ke bot penyelamat, namun seorang masih hilang.

"Seorang daripada mangsa yang terselamat cedera di tangan dan dada, manakala mangsa yang hilang dikenali sebagai Phanu Tarurak, berusia 27 tahun," katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.

Mangsa terselamat dipindahkan dari bot nelayan ke bot penyelamat Maritim. - Foto Maritim Kedah/Perlis
Mangsa terselamat dipindahkan dari bot nelayan ke bot penyelamat Maritim. - Foto Maritim Kedah/Perlis

Mohd Zawawi berkata, bot terbabit dilaporkan mengalami kerosakan selepas seawater inlet hose tercabut menyebabkan air masuk ke bahagian bilik jentera sehingga bot tenggelam dalam masa singkat.

Menurutnya, usaha mengesan mangsa yang disyaki tenggelam bersama bot diteruskan sehingga kini dengan bantuan penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, pemilik bot turut menggunakan khidmat pasukan penyelam bebas bagi kerja mengapungkan semula bot berkenaan.