GP Malaysia: Penonton SIC mampu capai 100 peratus

Azhan Shafriman Hanif
Azhan Shafriman Hanif
A
A
A

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) melihat kemungkinan untuk mencapai kehadiran 100 peratus kapasiti penonton pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2022 pada 21 hingga 23 Oktober depan.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, kapasiti penuh itu hanya boleh dicapai selepas negara bertukar kepada fasa endemik pada ketika Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan itu pada Oktober.

“Apabila kita berada pada fasa endemik, Covid-19 akan menjadi perkara biasa.

“Ia perlu terjadi dahulu... Saya fikir perkara utama sekarang ini pada kerajaan, jika mereka umumkan endemik, saya fikir kapasiti 100 peratus itu berkemungkinan dicapai,” katanya kepada media di sini.

Azhan menyatakan yang mereka telah mengetengahkan idea tersebut dalam cadangan kepada kerajaan dan turut mengemukakan beberapa cadangan lain, jika ia tidak dapat dilakukan.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh ketinggalan peluang menjadi tuan rumah tahun ini, selepas pandemik itu telah memaksa acara itu dibatalkan untuk dua tahun berturut-turut pada 2020 dan 2021.

“Mungkin jika mereka benarkan kami untuk lakukan dengan separuh kapasiti, mungkin kami perlu kira semula sama ada ia boleh dilakukan atau tidak ... Saya rasa Malaysia tidak mampu untuk tidak anjurkannya, kerana negara-negara lain terutamanya di Eropah telahpun meneruskannya dari tahun lepas sama ada dengan penonton ataupun tidak,” katanya.

Dalam masa sama, Azhan menjangkakan bahawa mereka akan mengetahui statu GP Malaysia dalam tempoh dua bulan akan datang, kerana kerajaan masih lagi menilai permohonan mereka untuk menganjurkan perlumbaan itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau menyatakan Dorna Sports selaku pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen untuk MotoGP, Persatuan Pasukan Perlumbaan Antarabangsa (IRTA) serta krew dan pelumba berpuas hati dengan cara SIC mengendalikan Ujian Musim Sejuk di sini.

“Saya gembira untuk menyatakan yang semuanya berjalan dengan lancar setakat ini...mereka yang terlibat amat gembira dengan perkhidmatan dan layanan yang kita berikan dan yang penting sekali mereka amat rindukan SIC, selepas dua tahun tidak diadakan di sini,” katanya. - Bernama