Bapa maut, anak cedera motosikal dirempuh kereta

Kemalangan membabitkan dua kenderaan di Chenderiang menyebabkan penunggang motosikal terkorban manakala anaknya mengalami kecederaan patah tulang kaki kanan.- Foto ihsan PDRM
Kemalangan membabitkan dua kenderaan di Chenderiang menyebabkan penunggang motosikal terkorban manakala anaknya mengalami kecederaan patah tulang kaki kanan.- Foto ihsan PDRM
A
A
A

TAPAH - Seorang lelaki maut manakala anak lelakinya berusia empat tahun cedera selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Kilometer 50, Jalan Ipoh - Kuala Lumpur berhampiran Chederiang di sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Annuar Zakariah, 48, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Anaknya yang juga pembonceng mengalami kecederaan patah tulang kaki kanan dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan mendapati dua beranak terbabit menaiki motosikal jenis Modenas Kriss manakala kereta jenis Perodua Axia dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun.

Menurutnya, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya Kampung Batu Masjid, Temoh di sini.

"Siasatan awal mendapati kereta terbabit dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur telah masuk ke lorong bertentangan dan melanggar motosikal terbabit.

"Penunggang mengalami kecederaan parah dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk dibedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, bedah siasat dijalankan pada Isnin selepas menerima keputusan ujian Covid-19 bagi mengetahui punca kematian.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu namun ditahan untuk siasatan.

"Remaja terbabit ditahan bagi menjalani ujian saringan air kencing dan lain-lain.

Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.