Rakyat Kelantan jangan lalai patuhi SOP: MB

Ahmad (tengah) bersama Hanifa (kanan) dan Ab Azis (kiri) semasa merasmikan KALA Sentral di Dataran Muhammadi, Kota Bharu pada Ahad.
Ahmad (tengah) bersama Hanifa (kanan) dan Ab Azis (kiri) semasa merasmikan KALA Sentral di Dataran Muhammadi, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan diingatkan supaya tidak 'lalai' dalam mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang sedang berlaku ketika ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pematuhan SOP itu penting dalam usaha mencegah penularan jangkitan sekali gus mengurangkan berlakunya peningkatan kes di negeri ini.

"Kalau kita tidak patuh kepada SOP, bagaimana hendak kawal penularan jangkitan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelantan Authentic Lifestyle and Arts (KALA) Sentral di Dataran Muhammadi, di sini pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan, Datuk Hanifa Ahmad dan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) Ab Azis Yunus.

Menurutnya, jika SOP tidak dipatuhi tidak mustahil Kelantan akan berdepan dengan pertambahan kes yang lebih tinggi selepas ini.

Beliau berkata, walaupun dos suntikan vaksin Covid-19 sudah dilengkapkan termasuklah dos penggalak ia bukan tiket untuk kita ingkar terhadap SOP.

Ahmad berkata, selain itu rakyat turut dituntut mengamalkan kebersihan yang merupakan sebahagian daripada kewajipan.

Artikel Berkaitan:

"Kebersihan adalah aspek penting dalam mencegah penularan jangkitan," katanya.

Pada Ahad sebanyak 471 kes positif baharu telah dilaporkan di Kelantan berbanding 673 pada Sabtu.

Walaupun menunjukkan berlaku penurunan, namun ia bukan 'medan' untuk rakyat alpa dalam mengamalkan pematuhan SOP.