Warga asing curi beg tangan pemilik restoran ditahan

Rakaman kamera litar tertutup(CCTV) memaparkan perbuatan suspek yang bertindak mencuri beg tangan di sebuah restoran pada Sabtu.
Rakaman kamera litar tertutup(CCTV) memaparkan perbuatan suspek yang bertindak mencuri beg tangan di sebuah restoran pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang buruh warga asing ditahan selepas dipercayai mencuri beg tangan pemilik sebuah restoran dalam kejadian di Seksyen 17, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek merupakan warga Indonesia berumur 36 tahun.

"Siasatan awal mendapati suspek merupakan pelanggan di restoran milik mangsa.

"Mangsa kerugian hampir RM15,000 apabila wang yang diletakkan dalam beg tangannya dicuri suspek dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Baharudin berkata, susulan laporan yang dibuat mangsa, suspek kemudiannya berjaya diberkas di sekitar kawasan Sri Muda.

"Permohonan reman akan dibuat terhadap suspek untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Sabtu, tular video di media sosial memaparkan tindakan seorang lelaki yang bertindak mencuri beg tangan di sebuah restoran di Seksyen 17.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat mencuri beg tangan yang diletakkan pada meja kaunter di restoran berkenaan sebelum bertindak melarikan diri.

Artikel Berkaitan: