Pegawai JPJ rugi RM8,400 ditipu kenalan palsu

Mangsa melakukan lima pemindahan wang ke nombor akaun diberikan seperti diminta tanpa rasa syak. - Gambar hiasan
Mangsa melakukan lima pemindahan wang ke nombor akaun diberikan seperti diminta tanpa rasa syak. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) rugi RM8,400 akibat diperdaya individu menyamar sebagai rakannya melalui aplikasi Telegram pada Sabtu.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita berusia 39 tahun itu menerima pesanan daripada suspek memintanya memindahkan sejumlah wang kerana akaun miliknya dikatakan mempunyai masalah.

Menurutnya, mangsa melakukan lima pemindahan wang ke nombor akaun diberikan seperti diminta tanpa rasa syak.

"Pindahan wang pertama berjumlah RM2,500 dilakukan sekitar jam 2.24 pagi dan selepas itu, mangsa melakukan empat lagi urusan pemindahan wang sehingga Sabtu tengah hari dengan jumlah keseluruhan RM8,400," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Wazir berkata, suspek meminta lagi wang daripada mangsa dan perbuatan itu mengundang rasa curiga kerana sudah melakukan lima pemindahan wang.

Jelasnya, mangsa kemudian cuba menghubungi rakannya bagi mendapatkan kepastian mengenai perkara itu, namun gagal.

"Selepas itu mangsa berjaya menghubungi kakak kepada rakannya, dan memaklumkan akaun Telegram milik adiknya disalahguna individu tidak bertanggungjawab.

"Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Muadzam Shah pada Sabtu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan itu.