Penunggang motosikal lawan arus parah bertembung kereta

Seorang penunggang cedera parah selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah Proton Saga di laluan tengah Lebuh Raya MRR2, pada awal pagi Sabtu.
Seorang penunggang cedera parah selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah Proton Saga di laluan tengah Lebuh Raya MRR2, pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki yang menunggang motosikal secara melawan arus cedera parah selepas bertembung dengan sebuah kereta di lorong tengah Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kampung Pandan pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kemalangan sekitar jam 5.25 pagi itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Wave dan Proton Saga serta Perodua Bezza.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal yang menunggang melawan arus di lorong tengah MRR2 berlanggar dengan sebuah Proton Saga.

"Sebuah Perodua Bezza yang berada di belakang tidak sempat brek dan melanggar bahagian belakang Proton Saga," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya mengalami kerugian berikutan kerosakan kenderaan akibat pelanggaran tersebut.

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal berusia 22 tahun itu cedera parah pada muka dan kaki serta menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Ampang," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman denda mencecah RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan.

Beliau meminta saksi kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Nur Nadia Atira di talian 017 2288085 untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: