UniKL sah sertai MHL 2022

Anil Jeet Singh
Anil Jeet Singh
A
A
A

JUARA bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sah menyertai saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 yang akan membuka tirainya pada 18 Februari ini.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh, sekali gus menafikan khabar angin yang mengatakan UniKL tidak akan mengambil bahagian dalam saingan musim ini.

"Saya mendapat banyak panggilan mengatakan UniKL tidak bermain. Jangan dengar khabar angin kerana sekarang sudah ada bukti UniKL akan tetap beraksi (MHL 2022)," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Jumaat.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pemain UniKL sudah mula menyertai pasukan-pasukan lain susulan khabar angin yang mengatakan skuad tersebut tidak akan bertanding dalam saingan MHL musim ini.

Antara pemain UniKL yang difahamkan sudah berpindah ke pasukan lain ialah Mohamad Sukri Abdul Mutalib dan Pavandip Singh Gurdip Singh (Pasukan Hoki Terengganu) manakala Mohamad Ashran Hamsani bersama Maybank.

Dalam pada itu, Anil turut mengumumkan penyertaan enam pasukan lain dalam kategori lelaki membabitkan Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Nurinsafi Sporting dan UiTM.

Bagi saingan wanita pula kata beliau, enam pasukan iaitu Sabah, KPT-Uniten Thunderbolts, Mutiara Impian MSSPP-PSHA, Negeri Sembilan Girls, Sarawak dan pasukan pembangunan kebangsaan akan merebut trofi MHL.

"Empat pemain import dibenarkan untuk satu pasukan tetapi sekarang bukan masa sesuai mengambil import kerana perlu ikut banyak SOP (prosedur operasi standard) dengan baki dua minggu sebelum kejohanan bermula," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anil turut menjelaskan tarikh penganjuran MHL 2022 yang bermula 18 Februari hingga Jun ini akan dipendekkan pada hujung Mac depan bagi memberi masa yang lebih buat pasukan kebangsaan menjalani latihan.

"Sepatutnya berakhir Jun tetapi kita awalkan kepada penghujung Mac kerana takut bercanggah dengan kalendar FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) dan AHF (Persatuan Hoki Asia).

"Saya juga percaya ketua jurulatih skuad negara pun perlukan masa untuk pemain-pemain kebangsaan berlatih," katanya.

Lima venue bakal digunakan bagi saingan MHL musim ini yang membabitkan Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil; Stadium Hoki MBKT Batu Buruk, Terengganu; Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang; Stadium Hoki Seremban 2 dan Stadium Hoki Majlis Perbandaran Klang.