Selangor perkenal CanSEL bangunkan solusi penjagaan pesakit kanser

Kerajaan Selangor akan memperkenalkan Program CanSEL sebagai langkah mencipta persekitaran dan komuniti yang boleh memberi sokongan kepada pesakit-pesakit kanser dalam membantu proses rawatan dan pemulihan. -Gambar hiasan 123rf (Gambar kecil: Dr Siti Mariah)
Kerajaan Selangor akan memperkenalkan Program CanSEL sebagai langkah mencipta persekitaran dan komuniti yang boleh memberi sokongan kepada pesakit-pesakit kanser dalam membantu proses rawatan dan pemulihan. -Gambar hiasan 123rf (Gambar kecil: Dr Siti Mariah)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan memperkenalkan Program Kanser Selangor atau CanSEL sebagai langkah mencipta persekitaran dan komuniti yang boleh memberi sokongan kepada pesakit-pesakit kanser dalam membantu proses rawatan dan pemulihan.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program tersebut akan dilaksanakan bersama dengan program Saring Selangor yang menyasarkan warga Selangor di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kerjasama pelbagai pemegang taruh.

Menurutnya, program tersebut akan menyediakan kemudahan ujian pengesanan awal meliputi ujian mammogram, kolorektal, dan prostat kepada rakyat di negeri Selangor.

Siti Mariah berkata, kerajaan Selangor memberikan komitmen terhadap inisiatif City Cancer Challenge (CCAN) untuk membangunkan solusi penjagaan kanser yang mampan sejak tahun 2021 melibatkan Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya dalam perancangan usaha tersebut di peringkat tempatan.

"Komitmen terhadap CCAN juga diberikan oleh pelbagai badan termasuk Universiti Malaya (UM), National Cancer Society of Malaysia (NCSM), hospital-hospital serta pusat penjagaan swasta dan sebagainya.

"Hal ini termasuklah penglibatan dalam program jaringan CCAN yang diadakan pada 29 Januari 2022 sebagai medan bertukar-tukar pandangan mengenai solusi penjagaan kanser," katanya menerusi satu hantaran di Facebook bersempena sambutan Hari Kanser Sedunia, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Siti Mariah berkata, sambutan Hari Kanser Sedunia yang disambut pada setiap 4 Februari itu merupakan peringatan bagi masyarakat untuk menilai keuwujudan jurang kanser atau gender di negara ini.

Ujarnya, jurang kanser harus dinilai dalam beberapa aspek termasuklah fasiliti saringan awal, rawatan, ubat-ubatan dan penjagaan kanser yang mampu milik dan mampu diakses oleh pesakit kanser dan ahli keluarga mereka.

Artikel Berkaitan:

"Semoga usaha-usaha ke arah 'Mendekatkan Jurang Kanser' dapat dilakukan secara kolektif dan efisien demi kesejahteraan rakyat," katanya.