Op Selamat 17: Enam kematian di Perak

Azizan
Azizan
A
A
A

IPOH - Sebanyak enam kematian direkodkan di Perak pada hari kelima Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Azizan Hassan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding dua kemalangan maut yang direkodkan dalam tempoh sama pada Op Selamat 16.

Menurutnya, nahas membabitkan kereta dan motosikal menjadi penyumbang tertinggi kemalangan maut di negeri ini dengan dua kematian di jalan negeri dan masing-masing satu di jalan bandaran, jalan persekutuan, lebuh raya dan lain-lain jalan.

"Kes kemalangan maut menunjukkan peningkatan, bagaimanapun kita telah meningkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan yang sering berlaku kemalangan.

"Lokasi kerap berlaku kemalangan yang telah dikenal pasti adalah 236 laluan di jalan bandaran, 126 di jalan persekutuan dan 103 di lebuh raya," katanya dalam sidang akhbar operasi bersepadu JSPT Perak ke atas bas ekspres di Terminal Meru Raya di sini pada malam Rabu.

Azizan (dua dari kanan) memantau keadaan penumpang sebuah bas ketika operasi bersepadu JSPT Perak ke atas bas ekpres di Terminal Meru Raya di sini pada malam Rabu.
Azizan (dua dari kanan) memantau keadaan penumpang sebuah bas ketika operasi bersepadu JSPT Perak ke atas bas ekpres di Terminal Meru Raya di sini pada malam Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sejak Op Selamat dilancarkan Jumaat lepas, sebanyak 585 kes kemalangan direkodkan di negeri ini dengan paling tinggi melibatkan kereta iaitu 425 kes, motosikal (56) dan kenderaan pelbagai guna (31).

Katanya, daripada jumlah itu, daerah Ipoh mencatat kes kemalangan paling tinggi diikuti Taiping dan Tapah.

"Dalam tempoh lima hari pertama operasi ini, sebanyak 9,634 saman telah dikeluarkan dan antara kesalahan utama berkenaan adalah memandu melebihi had laju, tidak patuh lampu isyarat, tiada lesen dan insurans telah tamat tempoh," katanya.

Anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bas ketika operasi bersepadu JSPT Perak di Terminal Meru Raya di sini, pada malam Rabu.
Anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bas ketika operasi bersepadu JSPT Perak di Terminal Meru Raya di sini, pada malam Rabu.

Sementara itu, dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, sebanyak lapan saman dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 46 bas ekspres antaranya membabitkan kesalahan lampu brek tidak berfungsi dan tayar botak.

Katanya, JPJ turut mengeluarkan saman ke atas dua pemandu bas atas kesalahan gagal menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan lebih 300 kilometer.

"Statistik menunjukkan terdapat lapan kes kemalangan jalan raya dalam Op Selamat kali ini adalah melibatkan bas berbanding tiga pada Op Selamat 16.

"Jadi operasi khas yang diadakan ke atas bas ini adalah untuk memastikan pemandu mematuhi peraturan ditetapkan termasuk tidak menggunakan barangan terlarang seperti alkohol semasa memandu," katanya.