Hujan lebat, angin kencang lepas cuaca panas berterusan

Keadaan pokok tumbang menghalang laluan dalam kejadian di Bandar Puteri Jaya pada Rabu.
Keadaan pokok tumbang menghalang laluan dalam kejadian di Bandar Puteri Jaya pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Hujan lebat dan angin kencang selepas cuaca panas berterusan di Bandar Puteri Jaya di sini mengakibatkan pokok tumbang selain menjejaskan beberapa buah rumah, kedai dan gerai dalam kejadian 2.50 petang Rabu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, setakat ini, tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.

Menurutnya, panggilan kecemasan diterima pada jam 2.59 petang sebelum anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba mendapati berlakunya pokok tumbang selain keadaan bumbung gerai, kedai dan rumah penduduk mengalami kerosakan," katanya.

Menurutnya, kerja-kerja pemotongan pokok di lokasi terjejas dilakukan dengan kerjasama kakitangan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagaimanapun, laluan yang terjejas boleh dilalui semula kenderaan, sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan selesai.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan cuaca panas dan kering berterusan dijangka berlaku sehingga hujung Februari membabitkan negeri di bahagian utara termasuk Kedah, Perlis dan Kelantan.

Bagaimanapun, hujan lebat di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah pada Rabu telah mengakibatkan pokok tumbang, bumbung rumah dan gerai diterbangkan angin kencang.

Artikel Berkaitan: