Zuraidin tawar diri bertanding jawatan Presiden PSM

Zuraidin
Zuraidin
A
A
A

PRESIDEN Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, pada 12 Februari ini.

Katanya, hasrat berbuat demikian timbul selepas mengambil kira situasi semasa di samping usaha penambahbaikan yang dilakukan ke arah mengembalikan PSM menjadi ahli keluarga Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

“Mengambil kira keadaan secara keseluruhan, usaha-usaha pemulihan PSM yang telah kita gerakkan bersama serta cabaran mendatang saya dengan penuh rasa tanggungjawab ingin menyatakan kesediaan dan komitmen untuk menawarkan diri bertanding bagi mengisi jawatan Presiden PSM.

“Sebagai iktibar untuk semua, biarlah sejarah dan kemelut masa lalu yang pernah berlaku dalam PSM disemadikan dan marilah kita membuka lembaran baharu demi kebaikan serta sukan tradisi Malaysia ini.

“Sehubungan itu, saya amat berharap agar AGM PSM yang bakal diadakan pada 12 Februari depan dapat dijalankan dengan penuh persefahaman dan semangat kekeluargaan,” katanya pada Rabu.

Untuk rekod, jawatan nombor satu badan induk itu kosong selepas Datuk Seri Ahmad Ismail melepaskan jawatannya pada 4 Jun lalu susulan PSM terpalit isu dengan ASTAF.

Mengimbau semula kemelut melanda badan induk sepak takraw itu sehingga disingkirkan badan induk sepak takraw Asia tersebut sebelum ini Zuraidin berkata, Gastak sebagai ahli gabungan PSM, menyifatkan situasi berkenaan boleh membawa impak negatif terhadap masa depan sukan tersebut di negara ini.

Jelasnya, pada ketika itu Gastak telah mengadakan mesyuarat khas untuk menilai isu berkenaan secara holistik dengan turut mengambil kira pelbagai aspek khususnya perundangan, keharmonian hubungan kerja dengan badan-badan sukan sepak takraw antarabangsa dan sebagainya sebagai pertimbangan utama.

Artikel Berkaitan:

“Dengan persetujuan sebulat suara ahli-ahli Majlis Gastak, pihak kami dengan penuh tanggungjawab telah memutuskan satu tindakan yang berat dan mengumumkan untuk keluar daripada PSM.

“Pihak kami mengambil maklum perkembangan selanjutnya apabila satu demi satu ahli-ahli gabungan lain dalam PSM menyatakan pendirian masing-masing serta rasional terhadap situasi yang berlaku dan mengambil tindakan yang sama.

“Akhirnya inisiatif bersama telah dibentuk bersama sebelas bekas ahli gabungan (G11) PSM dengan matlamat untuk memulihkan semula pengurusan badan sepak takraw negara demi kesinambungan serta kemajuan sukan berkenaan,” ujarnya.

Tambahnya, hasil perbincangan dan kesepakatan bersama akhirnya PSM berjaya diselamatkan semula sehingga akhirnya satu Mesyuarat Luar Biasa (EGM) dapat dijalankan pada Disember 2021 lalu, yang akhirnya membawa kepada penetapan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan PSM pada pertengahan Februari ini.