Brazil terus waspada walau menang selesa

Kapten Brazil, Dani Alves (kiri), melepasi kawalan pemain Paraguay pada perlawanan berkenaan. - Foto EPA
Kapten Brazil, Dani Alves (kiri), melepasi kawalan pemain Paraguay pada perlawanan berkenaan. - Foto EPA
A
A
A

BIARPUN menang selesa 4-0 terhadap Paraguay pada Rabu, namun Brazil diingatkan untuk sentiasa berwaspada bagi mengharungi baki aksi Kelayakan Piala Dunia Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL).

Pandangan itu disuarakan pengendali Selecao, Tite setelah menyaksikan skuad kendaliannya itu mudah membenam cabaran skuad La Albirroja itu dan sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah pada aksi kelayakan berkenaan.

“Secara keseluruhannya, kita perlu sentiasa berjaga-jaga. Jangan terlalu selesa dengan kedudukan sekarang kerana kita perlu terus menang hingga ke perlawanan terakhir peringkat kelayakan nanti.

“Jangan terlalu gembira setelah layak ke Qatar kerana kita mahu menamatkan aksi peringkat kumpulan ini dengan rekod ‘bersih’ (tanpa kalah),” katanya.

Pada aksi berkenaan, Raphinha membuka jaringan pada minit ke-28 sebelum Philippe Coutinho menjaringkan gol kedua pada minit ke-62 manakala dua pemain gantian Anthony dan Rodrygo menjaringkan gol ketiga pada minit ke-86 dan minit-88, bagi melengkapkan kemenangan pasukan.

Kemenangan itu menyaksikan Brazil terus unggul selaku pendahulu aksi kelayakan CONMEBOL dengan 39 mata tanpa sebarang kekalahan setelah mengharungi 15 perlawanan setakat ini.

Sementara itu, Tite berharap skuad kendaliannya itu dapat memanfaatkan baki saingan peringkat kumpulan berkenaan terutamanya bagi mempertingkatkan keserasian dalam kalangan pemain.

Katanya, elemen (keserasian) berkenaan dilihat penting jika mahu memastikan skuad Selecao itu terus melakar kejayaan hingga ke penghujung saingan.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun sudah mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Dunia Qatar, masih ada beberapa perlawanan lagi yang perlu diharungi.

“Oleh itu, semua pemain perlu memanfaatkan baki saingan berkenaan bagi mencatatkan kejayaan selain cuba untuk memantapkan lagi keserasian antara satu sama lain,” katanya.