Wanita antara empat ditahan leka berjudi

Polis melakukan rondaan cegah jenayah sempena Tahun Baharu Cina di sekitar daerah Manjung. - Foto ihsan PDRM
Polis melakukan rondaan cegah jenayah sempena Tahun Baharu Cina di sekitar daerah Manjung. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

LUMUT - Empat individu termasuk seorang wanita sedang leka berjudi ditahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah sempena Tahun Baharu Cina sekitar daerah Manjung di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 35 hingga 45 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Ayer Tawar di sini.

"Hasil pemeriksaan kita merampas 52 daun terup, sebuah meja, empat kerusi dan wang tunai RM350.

"Kesemuanya ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1952," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sementara itu, Nor Omar berkata, tiga lelaki dan seorang wanita turut ditahan atas pelbagai kesalahan di Sitiawan dan Beruas.

Katanya, dua lelaki terbabit berusia 40-an dipercayai tokan dadah ditahan bersama 195.6 gram dadah jenis heroin, methamphetamin, ganja dan 58 biji pil eramin 5.

Artikel Berkaitan:

Nor Omar (kiri) turut serta dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah sempena Tahun Baharu Cina sekitar daerah Manjung. - Foto ihsan PDRM
Nor Omar (kiri) turut serta dalam Operasi Bersepadu Cegah Jenayah sempena Tahun Baharu Cina sekitar daerah Manjung. - Foto ihsan PDRM

"Ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan mereka juga mempunyai rekod kesalahan lampau

"Turut ditahan seorang lelaki dan wanita kerana memiliki dadah," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6, Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahya 1952.

Katanya, seorang lagi lelaki ditahan mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 di Sitiawan kerana gagal menunjukkan lesen hiburan.

"Pihak polis juga telah membuat pemeriksaan terhadap 694 individu, 623 kenderaan dan mengeluarkan 44 saman pelbagai kesalahan jalan raya serta tiga kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Operasi itu membabitkan 15 pegawai dan 68 anggota di beberapa lokasi di sekitar Manjung dengan mengadakan enam sekatan jalan raya, 'snap check' dan ronda cegah jenayah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!