Indikator terkini SDG dimuat naik di SDG Dashboard: Mohd Uzir

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memuat naik indikator terkini Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di platform SDG Dashboard, pada Isnin.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indikator tersedia mengandungi 146 indikator peringkat nasional dan 19 indikator peringkat daerah dari 2016 hingga 2020 berdasarkan Laporan Indikator SDG Malaysia 2020.

Beliau berkata, kali ini, SDG Dashboard memaparkan 18 indikator baharu daripada 128 indikator pada tahun sebelumnya.

Antara indikator baharu peringkat nasional adalah peratusan penduduk luar bandar yang tinggal dalam jarak dua kilometer dari jalan boleh digunakan sepanjang tahun dan indikator kadar kitar semula kebangsaan, katanya.

Beliau berkata, indikator yang tersedia hingga peringkat daerah adalah insiden kemiskinan mutlak; kadar mortaliti; liputan vaksin; individu memiliki telefon bimbit dan akses internet; akses kepada bekalan air; sanitasi dan elektrik; kadar pengangguran; pengurusan sisa; statistik CCTV dan bilangan jenayah kekerasan.

SDG adalah komitmen global ke arah pembangunan lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif dengan 17 Matlamat dan 169 Sasaran. Ia mencakupi tiga dimensi iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Mohd Uzir berkata, SDG Dashboard menggunakan pendekatan literasi digital dan memaparkan indikator SDG secara interaktif dan mampu menarik lebih ramai pengguna terutama pihak berkuasa tempatan, penyelidik dan pelajar bagi mendapatkan maklumat berkaitan status pencapaian SDG semasa negara hingga peringkat daerah.

SDG Dashboard boleh diakses melalui pautan http://mysdg.dosm.gov.my/. - Bernama

Artikel Berkaitan: