Enam anak mangsa lori simen terima faedah Perkeso

Mohd Fauzi (tiga dari kiri) dan anak-anaknya menerima Cek Faedah Pengurusan Jenazah dari Perkeso yang disampaikan oleh Mohamad (dua dari kanan) serta Nora (kanan) di rumahnya di Taman Semasa, Bandar Baru Pasir Mas pada Isnin.
Mohd Fauzi (tiga dari kiri) dan anak-anaknya menerima Cek Faedah Pengurusan Jenazah dari Perkeso yang disampaikan oleh Mohamad (dua dari kanan) serta Nora (kanan) di rumahnya di Taman Semasa, Bandar Baru Pasir Mas pada Isnin.
A
A
A
PASIR MAS - Seorang suami terkejut apabila mendapat tahu enam anaknya layak menerima pencen penakat hasil caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) milik arwah isteri yang maut dihempap sebuah lori simen dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhadapan sebuah hotel di Sri Cemerlang, Kota Bharu pada 22 Januari lalu.

Mohd Fauzi Sergevi, 55, berkata, dia sama sekali tidak menyangka untuk menerima manfaat tersebut selepas arwah isteri berhenti kerja dengan sebuah bank di sini pada tahun 2006 lalu.

"Saya ingatkan bila arwah sudah berhenti kerja sejak 15 tahun lalu, maka tidak ada lagi faedah yang akan diterima. Namun sebaliknya apabila diberitahu masih layak," katanya selepas menerima Cek Faedah Pengurusan Jenazah dari Perkeso di rumahnya di Taman Semasa, Bandar Baru Pasir Mas di sini pada Isnin.

Penyampaian cek tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Datuk Mohamad Awang.

Hadir sama Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob dan rombongan.

Menurutnya, wang khairat kematian itu akan digunakan bagi tujuan kerja-kerja kebajikan buat arwah isteri.

Bagaimanapun dia akan memohon restu anak-anak terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.

Sementara itu, Nora berkata, pihaknya akan membayar pencen penakat berjumlah RM629.16 setiap bulan kepada enam anak-anak arwah yang berusia antara lapan hingga 20 tahun.

"Manfaat ini akan diterima mereka sehingga berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah di universiti awam atau swasta.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Perkeso turut membayar Cek Faedah Pengurusan Jenazah bernilai RM2,000 kepada keluarga berkenaan," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun 2021 lalu, Perkeso Kelantan telah membayar RM10 juta manfaat kepada para pencarum.

Sinar Harian 22 Januari lalu melaporkan, seorang wanita mualaf maut selepas kereta jenis Perodua Kelisa dipandu dihempap lori simen yang hilang kawalan kerana kegagalan fungsi brek di persimpangan lampu isyarat berhadapan sebuah hotel di Sri Cemerlang, Kota Bharu.

Mangsa beralamat di Taman Semasa Bandar Baru Pasir Mas meninggal dunia di lokasi kejadian yang berlaku pada jam 4.30 petang.