UTP raih anugerah emas di Putra Brand Awards 2021

Universiti Teknologi Petronas. - Gambar hiasan
Universiti Teknologi Petronas. - Gambar hiasan
A
A
A

SERI ISKANDAR - Universiti Teknologi Petronas (UTP), yang merupakan antara universiti tersohor di rantau ini terpilih memenangi anugerah emas berprestij dalam kategori Pendidikan dan Pembelajaran di Putra Brand Awards 2021.

Ini merupakan kemenangan sulung UTP bagi anugerah emas, yang sekali gus mencerminkan dan menjadi bukti bahawa ia adalah jenama pilihan nombor satu seluruh rakyat Malaysia dalam bidang pendidikan tinggi, kerana juri Putra Brand Awards terdiri daripada panel 11,000 pengguna Malaysia.

"Penghargaan ini adalah bukti komitmen kami untuk menyampaikan yang terbaik dalam pendidikan dan ia juga mengukuhkan kenyataan bahawa kami sedang membina jenama ke arah hala tuju yang betul di setiap peringkat untuk pihak berkepentingan kami, yakni pelajar, ibu bapa, penaja dan rakan usaha sama.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak berkepentingan kami, atas kepercayaan dan keyakinan terhadap jenama UTP, dan akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan, meningkatkan tahap kami dalam menyediakan pengalaman dan perkhidmatan pelanggan yang terbaik kepada pengguna kami, terutamanya kepada pelajar," kata Naib Canselor UTP Profesor Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib sebagai mengulas anugerah itu.

Anugerah dan pengiktirafan hebat lain yang pernah diraih oleh UTP termasuk, disenaraikan sebagai universiti swasta nombor satu Malaysia, kedua dalam kalangan semua institusi pengajian tinggi di negara ini dalam Kedudukan Universiti Dunia Times Higher Education (THE) 2022 dan dalam THE Emerging Economies Rankings 2021.

Selain itu ia turut mendapat pengiktirafan Quacquarelli Symonds (QS) dalam Kedudukan Universiti Dunia 2021 mengikut Subjek, meletakkan kedua-dua mata pelajaran Kejuruteraan Petroleum dan Kejuruteraan Mineral & Perlombongan UTP pada kedudukan Terbaik dalam kelompok 50, Terbaik 150 bagi Kejuruteraan Kimia, Terbaik 200 untuk Kejuruteraan Awam dan Terbaik 250 untuk Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, sekali gus meletakkannya program akademiknya secara konsisten mendapat pengiktirafan di peringkat global.

Selain itu UTP juga mengekalkan penarafan enam bintangnya, tahap prestasi tertinggi dalam MyRA untuk program pembangunan penyelidikan dan komersial, di samping status enam bintang atau status cemerlang dalam Setara bagi pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: