Dr Wan Azizah beri keterangan sejam di Bukit Aman

Wan Azizah ketika bercakap kepada media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Wan Azizah ketika bercakap kepada media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi keterangan kira-kira satu jam berhubung siasatan penerbitan buku 'My Story: Justice in the Wilderness' di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, pada Jumaat.

Dr Wan Azizah dilihat memasuki Bukit Aman sekitar jam 3.30 petang bersama Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen yang bertindak sebagai peguamnya.

Menurutnya, pihak polis mengajukan empat soalan berkaitan isi kandungan buku terbitan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

"Ada empat soalan dan saya sudah menjawabnya.

Soalan berkaitan dengan pendapat Tommy Thomas, saya menjawab dengan fakta sahaja dan tidak boleh kongsikan," katanya kepada media ketika ditemui di Bukit Aman di sini selepas memberi keterangan pada Jumaat.

Sinar Harian pada Jumaat, melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Dr Wan Azizah diminta hadir untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan penerbitan penulisan Tommy Thomas tersebut.

Tommy menerbitkan buku berkenaan pada awal tahun tahun lalu, namun menerima banyak kritikan daripada pelbagai pihak antaranya Jabatan Peguam Negara, peguam, ahli politik dan orang awam kerana didakwa mengandungi unsur hasutan, penghinaan serta fitnah.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, polis menerima lebih 100 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan buku tersebut.