Khutbah Jumaat di Perak perjelas pentingnya sifat amanah pemimpin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Sifat amanah terutama dalam kalangan pemimpin dilihat penting untuk memastikan kedaulatan sebuah negara merdeka dapat dipertahankan.

Teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertajuk Sifat Amanah dan dibaca di seluruh masjid negeri ini menjelaskan bahawa pemimpin yang beramanah berupaya memakmurkan negara dan menyejahterakan kehidupan rakyat.

Menurut teks khutbah Jumaat itu, negara akan musnah dan rakyat akan sengsara jika para pemimpin yang terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa, tidak ikhlas dan bermoral rendah mengkhianati amanah.

"Amanah ialah sifat mahmudah iaitu sifat terpuji. Lawan kepada sifat amanah ialah sifat khianat. Ahmad Mustafa Al-Maraghi membahagikan amanah kepada tiga jenis iaitu amanah manusia terhadap tuhan, amanah terhadap orang lain dan amanah terhadap dirinya sendiri.

"Amanah yang sering diabaikan oleh ramai manusia ialah amanah terhadap orang lain antaranya amanah seorang suami terhadap isteri, amanah ibu bapa terhadap anak, amanah pekerja terhadap pekerjaan, amanah majikan terhadap pekerja, amanah orang kaya untuk membayar zakat dan juga amanah pemimpin terhadap rakyat," katanya di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kisah Khalifah Umar Abdul Aziz hingga digelar sebagai Khulafa’ Rasyidin yang kelima kerana sifat hebat menjunjung amanah wajib dijadikan contoh.

"Ketika hayatnya Khalifah Umar Abdul Aziz sangat berhati-hati menggunakan harta milik kerajaan termasuk memadamkan pelita yang menggunakan minyak milik kerajaan sebaik sahaja perkara yang dibincangkan tidak berkaitan dengan urusan kerja.

"Sifat amanah yang diamalkan oleh baginda telah berjaya mengawal khazanah negara daripada tiris kerana disalahgunakan. Pada era pemerintahannya, negara menjadi makmur dan rakyat hidup senang, sehingga tidak ada rakyat yang layak untuk menerima wang zakat.

Artikel Berkaitan:

"Ketika meninggal dunia, baginda hanya meninggalkan 17 dinar emas sebagai belanja pengurusan jenazah dan pusaka untuk dibahagikan kepada waris," katanya.

Menurut teks khutbah Jumaat itu, pada tahun 1896, Theodor Herzl seorang pemuka Zionis bertemu Sultan Abdul Hamid II, Khalifah Kerajaan Uthmaniah menawarkan sejumlah wang bertujuan membeli sebahagian tanah di Palestin untuk dijadikan penempatan orang Yahudi.

"Beliau menyangka keadaan ekonomi empayar Uthmaniyyah yang sedang tenat merupakan masa dan peluang terbaik untuk membeli tanah di Palestin.

"Walaupun sedang menghadapi hutang negara yang tinggi atas sifat amanah yang kukuh, Sultan Abdul Hamid II tidak bersedia menggadaikan bumi Palestin dan dengan tegas menolak tawaran wang daripada pemuka zionis tersebut," katanya.

Jelasnya, dua contoh itu menyedarkan betapa pentingnya memelihara amanah terutama apabila melibatkan maruah agama, bangsa dan tanah air namun, amanah boleh tergadai apabila manusia tewas kepada nafsu dan sifat haloba yang dipengaruhi oleh bisikan syaitan yang dilaknati ALLAH.

Jelas teks khutbah Jumaat itu, masyarakat perlu beristiqamah berpegang dengan akidah yang sahih, berterusan beribadat dengan panduan yang sahih dan ikhlas.

"Mimbar menyeru para jemaah agar menginsafi perkara-perkara iaitu menjunjung amanah yang diberikan dengan memenuhi tanggungjawab sesama insan agar diterima oleh ALLAH SWT sebagai amal makruf yang dikurniakan ganjaran di dunia dan di akhirat.

"Bersifat tidak amanah, bererti bersifat khianat. Orang yang melakukan khianat akan diseksa dengan seksaan yang berat di akhirat.

"Sifat amanah akan memakmurkan negara dan memajukan bangsa dan sifat khianat akan menyengsarakan kehidupan rakyat, menghancurkan negara dan membunuh tamadun," kata teks khutbah Jumaat berkenaan.