Tebangan hutan di Kelantan masih terkawal

Abdul Khalim
Abdul Khalim
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mendedahkan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang dilesenkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) lebih rendah berbanding RMK11.

Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah berkata, di bawah RMK12 sebanyak 3,900 hektar telah dibenarkan untuk membuat tebangan berbanding 5,417 hektar pada RMK11.

"Keluasan kawasan berhutan di Kelantan sehingga 3 Disember 2020 lalu adalah seluas 767,202.50 hektar.

"Daripada jumlah itu sebanyak, 629,880.95 hektar adalah Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan selebihnya Hutan Tanah Kerajaan serta Taman Negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, HSK dibahagikan kepada dua bahagian iaitu hutan pengeluaran yang melibatkan kawasan seluas 468,714.63 hektar dan hutan perlindungan 161,166.32 hektar.

Beliau berkata, pembalakan hanya dibenarkan di hutan pengeluaran sahaja manakala hutan perlindungan tidak dibenarkan pembalakan sama sekali.

Abdul Khalim berkata, JPNK sentiasa komited untuk memastikan bahawa semua kawasan HSK di negeri ini diurus sepenuhnya dibawah amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

"Untuk mencapai matlamat ini, pembakalan di HSK ditentukan berdasarkan CTT dan Pengurusan Hutan Memilih (Selective Management System) dengan had batas tebangan sekurang-kurangnya 60 sentimeter (cm) kaum damar dan 50 cm kaum bukan damar.

Artikel Berkaitan:

"CTT adalah untuk mengimbangi jumlah pengeluaran dan penghasilan kayu dengan keupayaan serta keluasan hutan pengeluaran di dalam HSK," katanya.