Polis kenal pasti tiga lokasi panas kemalangan di Serdang

Anbalagan melakukan gimik pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan di sini pada Khamis.
Anbalagan melakukan gimik pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan di sini pada Khamis.
A
A
A

SERDANG - Polis Serdang mengenal pasti tiga lokasi panas kemalangan di daerah itu yang akan diberikan tumpuan pada Op Selamat 17 sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2022.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, antara lokasi itu ialah Jalan Serdang Raya, Putra Permai dan kawasan lebuh raya di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

"Kita akan memantau semua jalan-jalan utama di dalam daerah Serdang bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar dan selamat sepanjang musim perayaan ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan di sini pada Khamis.

Menurutnya, sepanjang Op Selamat 16 yang dijalankan pada tahun 2020, jumlah kemalangan yang direkodkan oleh Cawangan Trafik IPD Serdang adalah sebanyak 284 kes.

"Daripada jumlah itu, sebanyak dua kes kemalangan maut manakala tiga kes melibatkan kecederaan parah," ujarnya.

Justeru, beliau berharap Op Selamat 17 yang dijalankan ini akan memberikan kesan dan impak yang positif sama ada kemalangan biasa mahupun kemalangan maut.

"Saya turut mengalu-alukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat dan aduan kesalahan jalan raya seperti video atau gambar, agar tindakan dapat diambil terhadap mereka yang masih ingkar serta gagal mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Anbalagan berkata, seluruh jentera IPD Serdang akan digerakkan bagi tujuan rondaan pencegahan jenayah, risikan, operasi dan pemantauan secara berjadual di kawasan perumahan serta premis-premis perniagaan, sepanjang tempoh cuti perayaan.

Artikel Berkaitan:

"Ia bertujuan bagi memastikan usaha mencegah dan membanteras kejadian pecah rumah dan premis perniagaan dapat dioptimumkan," katanya.

Dalam pada itu, Anbalagan berkata, kerjasama masyarakat terhadap langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah dan keprihatinan jiran amatlah diharapkan bagi menjayakan operasi ini.

"Orang ramai disarankan memaklumkan kepada pihak polis sebelum meninggalkan rumah menerusi Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh diperoleh di balai-balai berhampiran atau dimuat turun melalui Portal Rasmi Polis Diraja Malaysia.

"Selain itu, permakluman juga boleh dibuat dengan menghubungi Hotline 999 (MERS 999) atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP)," jelasnya.