Perubahan pendidikan terletak kepada PM: Maszlee

Dr Maszlee Malik - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
Dr Maszlee Malik - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI
A
A
A

SHAH ALAM- Perubahan pendidikan di negara ini bukan hanya tertumpu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semata-mata.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara tersebut adalah terletak kepada Perdana Menteri yang perlu mengetahui keperluan dan kehendak negara pada 10 atau 20 tahun akan datang.

Di samping Perdana Menteri, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menjelaskan bahawa semua pihak turut bertanggungjawab dan berkolaborasi untuk memastikan pendidikan negara berada di tahap yang terbaik.

"Pendidikan adalah tanggungjawab bersama, sebab itu saya lihat, nak lakukan perubahan ia bukan hanya tugas KPM dan KPT. Tetapi terletak pada Perdana Menteri itu sendiri dan seiring dengan Menteri Ekonomi.

“Perlu juga kesepaduan dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Semua perlu terlibat. Tidak boleh bergantung pada sekolah dan guru,” katanya dalam satu program wawancara yang dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Maszlee berharap agar pendidikan Malaysia setaraf dan dijadikan sebagai bahan rujukan negara luar.

“Saya ingin Malaysia setaraf dengan Jepun dalam bab pendidikan nilai, Finland dalam keguruan dan sekolah. Setaraf dengan Singapura dalam matematik dan sains, Jerman dalam pendidikan TVET. Amerika pula dari segi kebebasan akademik.

Artikel Berkaitan:

“Harapan saya, 2030 nanti orang tidak cakap pasal semua negara tadi, tetapi mereka akan melihat dan ikut contoh Malaysia,” ujarnya.