Tabung #Sinar4NZMartyrs bantu mangsa tembak Christchurch

A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Satu tabung khas #Sinar4NZMartyrs dibuka untuk membantu keluarga mangsa yang meninggal dunia dan cedera dalam tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, semalam.

Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kutipan itu terbahagi kepada tiga fokus utama iaitu mangsa yang meninggal dunia, cedera serta membantu membaik pulih Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

“Kita harap dengan penubuhan tabung ini dapat meringankan beban keluarga mangsa menguruskan pengebumian dan membolehkan mangsa yang tercedera meneruskan kehidupan mereka. Perkara itu menjadi fokus utama kita.

“Selebihnya dengan duit kutipan itu kita akan salurkan untuk dua masjid yang terlibat membeli karpet atau keperluan lain.

“Buat permulaan kita akan membuka tabung ini selama dua minggu dan kesemua hasil kutipan itu akan diserahkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) Islam di New Zealand untuk diserahkan kepada mangsa yang terlibat," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau menambah, kemungkinan tempoh kutipan itu akan dilanjutkan bergantung kepada keperluan dan sambutan yang akan diterima nanti.

Serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood meragut 49 nyawa setakat ini manakala 20 lagi cedera.

Pengganas warga Australia itu bernama Brenton Tarrant dengan angkuh menyiarkan secara langsung serangan yang dilakukan, selain memuat naik manifesto atas talian mengandungi alasan mengapa dia melakukan serangan.

Sementara itu, tambah Hussamuddin lagi, ketika dalam keadaan berduka ini rakyat Malaysia diseru untuk meringankan beban derita keluarga para syuhada dan mangsa yang cedera dengan menghulurkan sumbangan.

"Biar dunia lihat, umat Islam sentiasa prihatin untuk membela nasib saudara seagamanya.

“Semoga ALLAH SWT memberkati apa yang kita usahakan. Amin,“ katanya lagi.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian seperti ketetapan berikut:

TABUNG Sinar4NZMartyrs

MBB: 5642 7652 9068

SINAR KARANGKRAF SDN BHD

*** Slip/Tanda sumbangan, sila whatsapp ke hp 013-3124164


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia