Hodgson pengendali baharu Watford

Hodgson
Hodgson
A
A
A

WATFORD menamakan bekas jurulatih England dan Liverpool, Roy Hodgson sebagai pengurus The Hornets sehari selepas memecat Claudio Ranieri berikutan kekalahan 0-3 kepada Norwich City di Vicarage Road, kata kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Hodgson dibawa masuk untuk mengekalkan Watford di liga tertinggi Inggeris itu berdasarkan reputasi selama empat musim berturut-turut bersama Crystal Palace, kelab terakhir yang diuruskannya.

"Watford FC berbesar hati mengesahkan pelantikan Roy Hodgson sebagai pengurus kelab.

"Bekas ketua pasukan kebangsaan England itu disertai oleh pembantunya yang dipercayai Ray Lewington, yang menguruskan Hornets dengan begitu mengagumkan dari 2002 hingga 2005.

"Hodgson dan Lewington memulakan persiapan serta-merta untuk perlawanan liga Watford seterusnya, menentang Burnley pada Sabtu 5 Februari," kata kelab itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Untuk rekod, Ranieri dipecat selepas lebih tiga bulan berikutan keputusan buruk yang menyebabkan The Hornets berada dalam zon penyingkiran liga.

Pengendali berusia 70 tahun dari Itali itu mengambil alih tugas pada Oktober selepas Xisco Munoz berpisah dengan kelab tersebut hanya setelah mengendali tujuh perlawanan liga musim ini dengan menempatkan pasukan di tempat ke-14.

Watford yang dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris musim lalu, kini berada di tangga kedua terbawah dengan 14 mata selepas mengharungi 20 perlawanan, tujuh kekalahan dan seri dalam lapan perlawanan terakhir.

Artikel Berkaitan:

The Hornets berada dua mata di belakang Norwich City dalam zon penyingkiran, walaupun kurang dua perlawanan.

Watford merupakan kelab ke-17 dikendalikan Hodgson yang banyak mengembara dalam kerjaya kejurulatihan selama 46 tahun. Dia juga pernah mengendalikan empat pasukan kebangsaan termasuk England.

Kerjaya kejurulatihan Hodgson bermula pada 1976 di Sweden dan sejak itu beliau telah menguruskan kelab seperti Inter Milan, Malmo, Blackburn Rovers, Liverpool, West Bromwich Albion, Fulham dan Switzerland.

Pengendali berusia 74 tahun itu membawa England ke Kejuaraan Euro 2012 dan Piala Dunia 2014, namun meninggalkan pasukan selepas The Three Lions disingkir Iceland dalam pusingan kalah mati pertama Euro 2016.

Walaupun Hodgson tidak memenangi sebarang piala di England, dia membawa Fulham ke final Liga Europa pada 2010.