Pembalakan bagus untuk harimau hanya di hutan terpilih

WWF
WWF
A
A
A

SHAH ALAM - Kepentingan aktiviti pembalakan yang bagus untuk harimau hanya melibatkan pembalakan di hutan terpilih sahaja.

Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia menjelaskan, sebagai sebuah organisasi berteraskan penyelidikan, organisasi itu merujuk kepada pembelajaran dan pemahaman sains konservasi serta kaedah digunakan.

“Kajian pada 2009 yang bertajuk ‘Kepentingan pembalakan terpilih bagi pemuliharaan harimau Panthera Tigris: anggaran kepadatan populasi di Semenanjung Malaysia’ oleh D. Mark Rayan dan Shariff Wan Mohamad dilakukan untuk mendapatkan maklumat kepadatan harimau di hutan balak terpilih.

“Amat penting untuk mengambil perhatian bahawa kajian itu merujuk kepada pembalakan terpilih, bukan pembalakan sebarangan.

“Pembalakan terpilih merupakan amalan perhutanan yang hanya menebang sebilangan pokok terpilih setiap tahun dalam kawasan hutan dan bukan keseluruhannya, sekali gus selaras dengan amalan Pengurusan Hutan Lestari,” katanya dalam hantaran di Faceebok pada Selasa.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah dilaporkan berkata, aktiviti pembalakan dikenal pasti bagus untuk populasi dan habitat harimau.

Kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi masyarakat dan kecaman warga maya.

Dalam pada itu WWF Malaysia menjelaskan, hutan yang bersih dan tidak terganggu merupakan habitat sesuai untuk harimau selain kawasan perlindungan hidupan liar dan taman negara.

Artikel Berkaitan: